KUALA LUMPUR: Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) melahirkan perasaan kesal dengan kegagalan kerajaan Pusat yang sehingga kini gagal menunaikan janji untuk memberi peruntukan sama rata kepada semua ahli parlimen tanpa mengira parti.
Beliau berkata, sebaliknya kerajaan Pusat memberi pelbagai alasan untuk mengelakkan menunaikan janji itu.
“Untuk rekod, Kelantan, Kedah dan Perlis, iaitu negeri di bawah PERIKATAN NASIONAL (PN) memberikan peruntukan sama rata kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri termasuk dari pembangkang sebaik sahaja membentuk kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Abdul Latiff, pemerintahan kerajaan PH-BN langsung tidak memberikan peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang atas alasan memerlukan rundingan.
“Soalan saya, rundingan apa lagi yang diperlukan kerana kerajaan campuran ini mempunyai majoriti dua pertiga sebelum (Ahli Parlimen) Muar menarik sokongan berbanding sewaktu Perdana Menteri Ke-9.
“Sedangkan kerajaan ini dicanangkan sebagai kerajaan Madani yang tertubuh atas perjuangan reformasi yang begitu panjang.
“Namun, adakah menafikan hak dan mendiamkan janji manifesto adalah madani,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/9/2023