KUALA LUMPUR: Keadilan ekonomi Islam untuk menghapuskan kemiskinan dan ketidakadilan sosial, tidak akan dapat dicapai sepenuhnya tanpa penghapusan riba menyeluruh.
Tuan Guru Zulkifli Ismail (PN-Jasin) berkata, ini menunjukkan bahawa apa yang berlaku kini bukan salah sistem ekonomi Islam, tetapi kesalahan kerana mengambil pendekatan Islam secara separuh-separuh.
“Penyelesaian Islam hendaklah diberikan ruang yang seluas-luasnya, apatah lagi setelah kegagalan pelbagai ideologi dan falsafah ciptaan manusia.
“Bukannya dihalang atau diubah suai sehingga merosakkan ketulenan ajaran Islam dan menghilangkan keberkesanannya,” katanya ketika sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat berkata, penolakan riba adalah prinsip asas dalam kewangan Islam yang tidak boleh dikesampingkan dalam mana-mana usaha pengislahan masyarakat dan sistem ekonomi.
“Ini kerana sistem riba adalah suatu bentuk kezaliman dan penindasan terhadap golongan lemah yang memerlukan bantuan.
“Ia merupakan instrumen golongan pemodal untuk mengaut kekayaan dan memeras golongan miskin dan lemah.
“Islam datang untuk menghapuskan kezaliman dan penindasan serta menegakkan keadilan bagi golongan yang ditindas oleh sistem riba tersebut,” katanya.
Tuan Guru Zulkifli menyatakan perkara ini sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan KSP RMK12 berkaitan perlaksanaan sistem perbankan Islam di Malaysia.
Anwar dalam pembentangan itu berkata, perbankan Islam di Malaysia bermula sebagai produk alternatif kepada sistem kewangan konvensional yang tertakluk kepada tantanan perbankan.
Tambahhya, pendekatan ini bagaimanapun telah membataskan pencapaian hasrat maqasid syariah kerana penekanan yang diberikan sebatas prinsip penolakan riba tanpa melihat objektif ekonomi Islam yang lebih menyeluruh termasuk penegakkan prinsip keadilan dan penyertaan rakyat yang lebih meluas.
Tuan Guru Zulkifli dalam ucapannya berharap agar kenyataan Perdana Menteri bukan bertujuan menggambarkan bahawa pengharaman Islam terhadap riba dan sistemnya adalah sebab kepada pencapaian kemajuan ekonomi umat Islam kurang berjaya; atau penekanan Islam dalam menolak riba telah menghalang kejayaan sistem kewangan Islam itu sendiri
“Saya berharap ia bukan menggambarkan seolah-olah penolakan riba adalah bercanggah dengan objektif kewangan Islam dari aspek penegakkan prinsip keadilan,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/9/2023