Contohi sistem pilihan raya Singapura

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia disaran mencontohi sistem kawasan pilihan raya perwakilan kumpulan seperti diamalkan di Singapura bagi membolehkan semua wakil kaum di negara itu mempunyai wakil di parlimen.

Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) berkata, sistem tersebut membolehkan wakil semua kaum di negara ini berada di Dewan Rakyat.

Advertisement

Contohnya kata beliau, wakil India di Dewan Rakyat sekarang tidak sepadan dengan jumlah kaum itu di Malaysia.

“Kerajaan wajar mempertimbangkan sistem digunakan di Singapura yang berasaskan Kawasan Undi Perseorangan (SMC) dan Ahli Parlimen Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC),” katanya ketika membahas Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat, hari ini.

Singapura memperkenal sistem GRC pada 1988 bagi memastikan komuniti minoriti mempunyai wakil di Parlimen.

Sekurang-kurangya seorang calon untuk satu GRC, mesti mewakili satu komuniti minoriti. Kumpulan minoriti utama di Singapura iaitu Melayu, India, Eurasians dan lain-lain.

Dr Shahidan turut menyifatkan ucapan Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat semalam sebagai seorang pejuang tulen.

Katanya, Tuan Guru menyebut beliau rela dihukum penjara berbanding membayar denda terhadap pertuduhan yang dihadapi sekarang.

“Tuan Guru menyebut lebih baik denda diberi kepada PASTI (Pusat Asuhan Tunas Islam). Ini ucapan yang cukup hebat, seorang pejuang yang masih ada sehingga sekarang,” katanya.

Beliau turut meminta Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjelaskan segera mengapa Peguam Negara membebas tanpa melepaskan 47 kes membabitkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya juga, tindakan polis menghalang rakyat hendak datang menyerah memorandum di parlimen tidak sepatutnya berlaku.

“Hendak hantar memorandum, kita terimalah buat apa hendak halang. Orang kampung yang datang hendak serah memorandum berilah peluang rakyat menyatakan masalah mereka,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/9/2023