KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mengingatkan ahli dewan supaya tidak menyibuk ketika sesi menteri memberikan jawapan pada dua hari terakhir sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12).
Ahli Parlimen Arau berkata, ini berikutan tempoh masa yang terhad menyebabkan ahli dewan mahu menteri menjawab semua persoalan yang dibangkitkan.
“Menteri akan jawab Isnin dan Selasa. Jadi orang lain tak payah menyibuk. Kalau ada beberapa kenyataan yang telah mungkin pada pandangan kerajaan silap, betulkan.
“Saya tak perlu diganggu apa-apa, saya cuma nak menteri sahaja jawab. Orang lain bukan menteri ya! Jadi kena ingat tu kadang kadang dia lupa, dia bukan menteri…dia cuma ahli parlimen biasa,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Shahidan berkata, ketika Perdana Menteri memasuki Dewan Rakyat hari ini, ada ahli dewan yang hendak menjadi hero dengan bangkit bertanyakan soalan dan sebagainya yang tidak sepatut dilakukan.
“Ini peraturan parlimen! Saya sebagai orang lama di parlimen termasuk dulu sekarang banyak yang telah meninggal (dunia), saya nak beritahu supaya ikut peraturan.
“Menteri menjawab, tetapi ada orang lain menyibuk seolah-olah dia menteri. Belum menteri lagilah, Perdana Menteri belum lantik lagi. Mungkin tak lantiklah,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/9/2023