
DERNA: Angka kematian akibat malapetaka banjir di Libya boleh mencecah 20,000 orang, hanya di bandar Derna yang menyaksikan 37 buah bangunan dihanyutkan ke laut dalam tragedi pada 8 Sept lalu.
Datuk Bandar Derna, Abdulmenam al-Ghaithi memberitahu televisyen Al Arabiya milik Arab Saudi, anggaran jumlah kematian di bandar itu boleh mencecah antara 18,000 hingga 20,000 berdasarkan jumlah daerah yang musnah akibat banjir.
Pegawai kerajaan pula telah meletakkan jumlah mangsa yang masih hilang pada 10,000 orang; manakala agensi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), OCHA berkata, angka itu adalah sekurang-kurangnya 5,000.
Visual memilukan dilihat di bandar itu yang menyaksikan penduduk berusaha keras mencari saudara-mara mereka yang hilang ketika pekerja penyelamat merayu untuk mendapatkan lebih banyak beg mayat, selepas banjir besar itu yang mengorbankan beribu-ribu orang dan menghanyutkan ramai penduduk ke laut.
Petak-petak penempatan di kota Mediterranean itu kelihatan telah lenyap oleh arus air yang dilepaskan oleh ribut Dainel yang menghanyutkan dasar sungai yang biasanya kering pada malam Ahad (10 Sept) lalu, memecahkan empangan di bandar itu, lalu meruntuhkan dan menghanyutkan berpuluh-puluh bangunan bertingkat dengan ramai ahli keluarga tidur di dalamnya.
Sementara itu, jurucakap kementerian dalam negeri, Leftenan Tarek al-Kharraz pada Rabu (14 Sept) memberitahu agensi berita AFP bahawa 3,840 kematian telah direkodkan di bandar Mediterranean itu setakat ini, termasuk 3,190 yang sudah dikebumikan; antaranya ialah sekurang-kurangnya 400 warga asing, kebanyakannya dari Sudan dan Mesir.
Sementara itu, Menteri Penerbangan Awam dalam pentadbiran yang mengendalikan Libya timur, Hichem Abu Chkiouat memberitahu agensi berita Reuters, lebih daripada 5,300 kematian telah dikira setakat ini, dan berkata jumlah itu bakal meningkat dengan ketara dan berganda.
Al-Ghaiti dalam pada itu berkata, pasukan penyelamat telah tiba dari Mesir, Tunisia, Emiriah Arab Bersatu, Turki dan Qatar.
“Kami sebenarnya memerlukan pasukan khusus dalam menguruskan ribuan mayat mangsa-mangsa yang terkorban.
“Saya bimbang bandar Derna akan dijangkiti wabak kerana sangat banyak mayat di bawah runtuhan bangunan dan di dalam air laut ketika ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/9/2023