Terengganu bantu penternak atasi kenaikan harga dedak

- Advertisement -

KUALA NERUS: Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim, berkata, pengagihanmesin chopper adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri bagi membantu penternak berhadapan isu kenaikan harga dedak ternakan.

- Advertisement -

“Jadi bila kita tidak dapat nak atasi faktor-faktor yang luar daripada kawalan kita, kita masuk kepada angle lain yang berada di kawalan kita, antaranya kita beralih kepada sumber makanan hijau.

“Sehubungan itu kita agihkan mesin chopper supaya penternak boleh memanfaatkan rumput napier, batang jagung dan sebagainya,” katanya.

Dalam masa sama, kata Azman, penternak juga digalakkan untuk membuka lebih banyak padang ragut.

“Penternak akan ada kawasan untuk cerut ambil rumput dan bila sumber makanan hijau kita mencukupi maka dengan sendirinya pergantungan dengan sumber dedak akan berkurangan dan ini mampu mengurangkan dari segi kos penternakan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Input Penternakan Ruminan Tahun 2023 bertempat di Dewan Masyarakat Tok Jiring, di sini, hari ini. Hadir sama Pengerusi Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim.

Sebelum ini, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi tujuan agihan input kepada tiga sektor iaitu pertanian, penternakan dan perikanan.

Azman berkata, bagi sektor pertanian lebih kurang RM1 juta diperuntukkan yang mana memberi manfaat kepada 610 orang penerima di seluruh daerah.

“Bagi daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus 151 orang tengah hari ini yang kita agihkan di antaranya makanan ternakan, mesin chopper dan beberapa kelengkapan untuk buka padang ragut,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, pelan besar kerajaan negeri adalah meningkatkan pengeluaran daging.

“Sekarang ini dari segi self-sufficiency ratio (SSR) baru sekitar 34 peratus hasil ternakan Terengganu mencukupi untuk keperluan rakyat, 60 peratus lebih kita masih bawa daripada luar.

“Sebab itulah dalam pada masa yang sama kita tambah bilangan ternakan, kita tambah keluasan padang ragut dan dalam masa sama kita cuba tambah nilaikan produk yang kita ada sebab itulah lembu sado menjadi trend penternak di Terengganu.

“Kalau kita tengok tadi ramai penternak kita yang menerima agihan insentif input adalah penternak-penternak muda yang menceburi bidang penternakan lembu sado sebahagian daripada mereka adalah diantara anak-anak muda kita yang sentiasa memeriahkan himpunan lembu sado pantai timur,” katanya.

Beliau berkata, sektor penternakan akan terus menjadi fokus untuk pihaknya merealisasikan pelan besar jadikan Terengganu sebuah negeri pengeluar makanan. – HARAKAHDAILY 13/9/2023