PAS merakamkan ucapan takziah buat Libya dan rakyatnya berikutan kejadian banjir besar yang melanda timur negara itu akibat hujan lebat setelah dilanda ribut Daniel yang sehingga kini dilaporkan telah mengorbankan lebih kurang 5,000 dengan ribuan lagi dilaporkan hilang.
Dilaporkan bahawa bandar Derna, sebuah bandar pelabuhan di timur Libya hampir musnah akibat banjir besar tersebut berikutan dua buah empangan pecah setelah hujan lebat dengan angka korban di Derna sahaja telah mencecah lebih 3,000 orang.
Ia adalah kejadian yang amat menyayat hati buat Libya dan rakyatnya yang mana pada ketika ini kerja-kerja mencari dan menyelamat sedang dijalankan oleh pasukan keselamatan dan penyelamat dalam usaha untuk mencari mangsa yang masih hilang dan terperangkap akibat banjir besar tersebut.
Adalah menjadi harapan PAS agar tragedi tersebut tidak melemahkan atau membantutkan usaha Libya dan rakyatnya mencari titik persamaan dalam usaha untuk mewujudkan keamanan yang berkekalan dan penyatuan ummah yang membawa manfaat buat Libya.
Semoga Libya dan rakyatnya terus bersabar dan tabah dalam mengharungi tragedi yang amat menyayat hati ini seterusnya mampu bangkit kembali menjadi lebih teguh dan kuat dalam mendepani cabaran yang mendatang.
“Malaysia Sejahtera”
YB DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
AJK PAS Pusat – HARAKAHDAILY 13/9/2023