Surat terbuka Muslimat PAS kepada YB Syed Saddiq

SURAT terbuka ini ditujukan khas buat YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ahli Parlimen Muar, Presiden Parti MUDA.

Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengucapkan terima kasih kepada YB Syed Saddiq kerana mengambil keputusan untuk berada dalam blok pembangkang di Parlimen. Tindakan ini adalah kerana ketidaktelusan kerajaan ini dalam pentadbiran negara. Keputusan mahkamah ke atas Zahid Hamidi, Presiden Umno baru-baru ini, begitu menampakkan Kerajaan PH-BN hari ini seperti lidah bercabang. Janji-janji yang kononnya ingin memastikan pemimpin yang terlibat dengan rasuah akan dipenjarakan, hanyalah cakap kosong sahaja.

YB, sebagai wakil suara orang muda, tindakan ini amatlah benar dan wajar dipuji. Teruskan pendirian untuk membawa kebenaran, seperti Hadis junjungan Baginda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, “Berkata benarlah, walaupun ianya pahit”. DMPM menyokong penuh tindakan ini kerana perlunya diberi kesedaran kepada kerajaan pada hari ini agar mereka ketahui tindakan mereka itu amat salah dan membuat rakyat muak.

Keputusan yang dibuat ini, menunjukkan ketegasan YB dalam menyuarakan ketidakpuasan hati kepada pemimpin-pemimpin negara yang mencampuri urusan mahkamah demi untuk menyelamatkan rakan baik mereka sendiri! Sedangkan yang bersalah layak untuk dihakimi dan menerima hukuman setimpal. YB jangan khuatir, tindakan ini wajar dilakukan kerana kita sedang ingin membina negara dan mendidik masyakarat bebas rasuah.

Akhir sekali, DMPM mendoakan agar langkah yang dibuat oleh YB dipimpin oleh Allah S.W.T dan berada di jalan yang benar.

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 13/9/2023

Advertisement