Ragbi harum nama Jerantut

Pasukan ragbi anak muda Jerantut, JBOK RC merangkul kejuaraan dalam perlawanan akhir kejohanan ATSC Pahang Rugby Championship 2023.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jerantut mencadangkan kerajaan membina stadium mini ragbi di Jerantut yang juga pertama di Pahang.

Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, cadangan ini juga disokong oleh Presiden Kesatuan Ragbi Negeri Pahang (KRNP), Yang Mulia Dato’ Indera Tun Putera Abdul Mubin Shah Dato’ Indera Munir.

- Advertisement -

Menurutnya, pemain ragbi telah mengharumkan nama Jerantut apabila menjadi johan dalam kejohanan ATSC Pahang Rugby Championship 2023.

“Pasukan Ragbi Jerantut yang nama lamanya adalah Jerantut Rainforest Rugby Club, sekarang lebih dikenali sebagai JBOK RC iaitu akronim kepada Jerantut Bandar Orang Kacak.

“Untuk pengetahuan pihak kementerian, JBOK RC telah melahirkan dua pemain pasukan ragbi kebangsaan dan majoriti pemain-pemain JBOK RC mewakili Pahang dalam piala ragbi di peringkat kebangsaan,” katanya ketika sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan dapat mempertimbangkan pembinaan stadium mini ragbi di Jerantut di bawah KSP RMK12.

“Kalau negara Jepun yang rata-rata pemain ragbi bersaiz Asia seperti Malaysia dan sedang bertanding dalam Rugby World Cup di Perancis, tidak mustahil melalui usaha ini, Malaysia akan menjadi antara pasukan ragbi yang akan bertanding dalam Rugby World Cup edisi akan datang dan mengharumkan nama negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/9/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!