PPK perlu pecah monopoli kartel padi

KUALA LUMPUR: Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) mencadangkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) berusaha memecahkan monopoli kartel yang menguasai pertanian padi negara ini.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, monopoli kartel yang menindas pesawah dalam pelbagai aspek, termasuk bekalan benih, racun, baja, dron, mesin menuai padi, lori dan kilang serta pemasaran.

Advertisement

Sehubungan itu, katanya, PPK mesti menguasai rantaian pertanian padi untuk memecahkan monopoli kartel.

Di Kedah, katanya usaha membantu pesawah sedang dilakukan oleh Jabatan Zakat yang menyediakan bekalan benih hingga rangkaian kilang.

“PPK boleh menyediakan benih yang elok…boleh bincang dengan MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia)…UPM (Universiti Putra Malaysia) yang banyak membuat penyelidikan seperti UPM yang menghasilkan varieti Padi Putra 1 dan Padi Putra 2,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke 12 di Dewan Rakyat, hari ini.

Ustaz Idris berkata, mengikut kenyataan Pengarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan Interforce UPM, Profesor Dr Mohd Rafii Yusof, Padi Putra 1 dan Padi Putra 2 yang dikaji selama sembilan tahun mampu menghasilkan antara lapan hingga 12 tan padi bagi setiap satu hektar.

Sehubungan itu, beliau meminta PPK memberi perhatian terhadap usaha itu demi membantu pesawah. – HARAKAHDAILY 13/9/2023