TERIMA kasih kerana memberikan peluang kepada Bachok untuk turut sama memberikan input dan pandangan berkaitan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 ini, iaitu sebuah perancangan dasar jangka sederhana (5 tahun), yang perlu menjadi rujukan kepada sesebuah perancangan jangka pendek (belanjawan 1 tahun), bagi memenuhi matlamat yang digariskan dalam sesebuah perancangan jangka panjang (lebih 10 tahun).
Izinkan saya memulakan perbahasan saya dengan memetik dua ayat Al-Quran sebagai renungan bersama, yang bermaksud: “Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia sesama manusia, supaya menjadi pengajaran.” (Ali-Imran: 140)
Kedua, firman Allah SWT (maksudnya): “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta orang-orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak mengambil sebahagian dari harta manusia dengan berbuat dosa, padahal kamu mengetahui salahnya.” (Al-Baqarah: 188)
Justeru dalam kesempatan untuk menyemak semula RMK-12 ini, saya ingin mengajak kita semua untuk bermuhasabah – merenung ke belakang sejenak dan mencerap ke hadapan dengan lebih mendalam – berbahas secara matang dengan menyentuh perkara-perkara dasar, elemen-elemen struktural, masa depan generasi muda, dan pastinya halatuju negara yang tercinta ini.
Pertamanya, Kitaran Tamadun
Sebagai manusia, kita bermula dengan muda, dan jika umur kita panjang, mungkin kita akan berakhir pada usia yang tua, walaupun ada ketikanya yang muda-muda ini tidak sampai umurnya ke hari tua. Itulah fitrah hidup manusia.
Begitulah juga bagi sebuah negara, apatah lagi sebuah kerajaan yang mentadbir sesebuah negara – bermula sebagai sebuah ‘negara bangsa’ (nation state) yang muda, kemudian akan berkembang populasinya, kuasa politiknya, dan kemakmuran ekonominya, sehingga menjadi sebuah negara yang besar dan empayar yang hebat, dan di hujungnya tetap akan melalui suatu tempoh kemerosotoan, dan akhirnya mungkin tersungkur jatuh sebagai sebuah empayar yang tua.
Inilah yang dimaksudkan oleh Ibnu Khaldun di dalam kitab Al-Muqaddimah bahawa, “Sesebuah kerajaan, empayar, atau tamadun akan melalui suatu proses ‘Kitaran’ (Ad-Dawriyyah / At-Tadaawul), seumpama proses kitaran biologi seorang manusia; yang bermula dengan fasa kelahiran dan kanak-kanak (kemunculan/ pengembangan), seterusnya fasa remaja dan dewasa (pertumbuhan/ kekuasaan), dan akan berakhir usianya dengan fasa tua dan pelupa (kemerosotan/ kealpaan).
Rata lapang gunung Tahan
Bukit Rapat Bukit Cekati
Kita menumpang bumi Tuhan
Jangan dibuat sesuka hati.
Untuk memudahkan kefahaman, minta maaf jika saya memberikan contoh yang dekat dengan kita, iaitu Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka, dan Barisan Nasional yang menjadi kerajaannya.
Sejak merdeka, negara kita telah melalui suatu tempoh kitaran politik dan ekonomi yang panjang, bermula dengan tempoh kelahiran, pertumbuhan, pengembangan, sehinggalah mencapai kemuncak pertumbuhan dan kekuasaan, (KDNK melebihi 7%, projek mega pencakar langit), seterusnya beralih kepada fasa kelemahan, kealpaan, dan kerosakan (hutang, defisit, rasuah, politik wang, kleptokrasi), sehingga semuanya tersungkur jatuh dan perlu dipapah untuk berjalan, hingga ke hari ini.
Sengaja saya membawa iktibar daripada ‘Teori Kitaran Ibnu Khaldun’ ini sebagai pedoman kepada kita semua, supaya Malaysia sebagai sebuah negara, dan mana-mana pemimpin dan kerajaan yang bersilih-ganti mentadbirnya, sentiasa ingat bahawa tempoh yang ada amatlah singkat.
Berbeza dengan manusia, sesebuah negara atau kerajaan itu, muda dan tuanya tidak diukur dengan berapa umurnya, berapa tempoh pemerintahannya, tetapi dilihat kepada tahap kekuasaan, kemakmuran, akhlak dan tatakelolanya, dan boleh jadi sebuah kerajaan itu menjadi tua dan nyanyuk lebih cepat daripada usianya.
Ikan belanak ditutup saji,
Saji dianyam oleh Pak Mahat,
Orang khianat jangan dipuji,
Makin dipuji makinlah jahat.
Sejak kera masuk negeri,
Anak merbah mati tersepak,
Sejak ketua sibuk mencuri,
Anak buah jadi perompak.
Maka manfaatkanlah tempoh kekuasaan yang ada untuk berlaku adil, jangan menzalimi mana-mana pihak, berbaktilah kepada negara, dan hapuskan segala penyakit, perasuah, serta perosak yang memudaratkan negara, seterusnya wariskanlah negara tercinta ini dalam keadaan baik dan tatakelola yang sempurna, sebagaimana digariskan dalam KSP RMK-12 ini, strategi pertama daripada 17 anjakan besar & 71 strategi utama yang berbunyi: “Memperkukuh Tatakelola Dan Integriti Untuk Membina Semula Kepercayaan Dan Keyakinan Rakyat”.
Keduanya, Kemiskinan
Sebentar tadi saya menyentuh tentang aspek kekuasaan, kehebatan kerajaan. Kemiskinan, kita menyentuh tentang aspek kesusahan, keperitan rakyat bawahan.
Kemiskinan ini ada pelbagai dimensi; miskin harta, miskin jiwa; miskin bandar, miskin luar bandar, inter-etnik dan intra-etnik. Ada kemiskinan yang tersingkap – perlu dicari dan dibantu sekadar perlu; ada juga kemiskinan yang terperangkap – perlu dijejak dan ditarik keluar secara bersepadu.
Secara umumnya, pandemik COVID-19 dan PKP telah meninggalkan impak yang mendalam kepada pendapatan isi rumah dan keuntungan peniaga.
Insiden kemiskinan mutlak meningkat daripada 5.6% pada tahun 2019 kepada 8.4% pada tahun 2020. Walau bagaimanapun, trend ini kembali normal dengan penurunan kepada 6.2% pada tahun 2022, disokong oleh pelaksanaan pelbagai program dan projek pembasmian kemiskinan oleh EPU secara bersepadu, sejak dahulu lagi, bukan sejak IPR atau IKR di bawah pentadbiran Kerajaan Madani.
Hakikatnya isu kemiskinan dalam negara kita masih berterusan. Kemiskinan pelbagai dimensi masih wujud. Kebergantungan kepada pindahan tunai sangat tinggi (Cash is King, dengan izin).
Juga kekurangan program pembasmian kemiskinan yang holistik dan berkeupayaan untuk diperluaskan skalanya, bukan bantuan kecil-kecilan ataupun insiatif kecil-kecilan seperti jualan Rahmah di kedai-kedai dan pasaraya terpilih, ataupun pemasangan ‘vending machine’ nasi lemak di stesen LRT terpilih.
Dalam melangkah ke hadapan, penyelesaian kepada belenggu kemiskinan ini perlu meluas dan menyeluruh – ekosistemnya, rantaiannya, populasinya, lokalitinya. Justeru adalah penting untuk mengekalkan dan menangani jurang yang masih wujud ini bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus ditingkatkan.
Usaha kerajaan untuk meningkatkan, mempelbagai dan melindungi pendapatan golongan miskin perlu dipergiatkan, dan kami di daerah-daerah yang insiden kemiskinannya antara yang tertinggi (di Sabah, Kelantan, Sarawak), termasuk Bachok, sangatlah mengalu-ngalukan program sebegini.
Akhirnya pada hemat Bachok, pelaksanaan program pembasmian kemiskinan perlu dijadikan agenda negara melalui pendekatan menyeluruh (whole of nation approach), melibatkan sektor awam dan swasta, baitulmal, ahli akademik, mahasiswa, NGO dan komuniti setempat. Malah jika perlu diwujudkan perjawatan khusus, boleh dilantik secara kontrak adik-adik graduan yang masih belum mempunyai pekerjaan, untuk terlibat dalam kerja-kerja bimbingan dan pemantauan program pembasmian kemiskinan di bandar dan luar bandar.
Ketiga, Federalisme Ekonomi
Izinkan saya memetik tulisan Allahyarham Tun Salleh Abas, bekas Ketua Hakim Negara, dalam bukunya yang berjudul, Prinsip Perlembagaan dan Pemerintahan di Malaysia, m/s 208 yang berbunyi: “Dalam setiap persekutuan mestilah ada beberapa kerajaan negeri dan kerajaan pusat yang ditubuhkan oleh Persekutuan itu. Sebuah persekutuan tidak akan wujud jika tidak ada minat dan kecenderungan di kalangan rakyat untuk menubuhkan persekutuan itu”.
“Antara minat dan kecenderungan itu ialah cita-cita ingin hidup di bawah satu sistem pemerintahan yang seragam baik di bawah kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri. Dalam hal ini, rakyat Malaysia telah memilih sistem pemerintahan cara Demokrasi Berparlimen sebagai asas Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan negeri”.
Dalam ilmu sains politik, persekutuan terbahagi kepada tiga jenis. Pertama ialah persekutuan yang kerajaan pusatnya lebih lemah daripada kerajaan negeri, kerana kebanyakan kuasa yang mustahak diberi kepada kerajaan negeri.
Jenis yang kedua ialah persekutuan yang kerajaan pusatnya lebih kuat daripada kerajaan negeri, dan jenis yang ketiga pula ialah persekutuan yang kerajaan pusatnya sama kuat dan sama taraf dengan kerajaan negeri.
Dalam konteks sejarah Malaysia, kita memerlukan sebuah Persekutuan yang kerajaan pusatnya mempunyai kuasa yang kuat dan lebih daripada kerajaan negeri. Dengan berasaskan konsep inilah maka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, dan kemudiannya Perlembagaan Malaysia telah digubal dan dikuatkuasakan.
Menurut Tun Salleh Abas: “Bagi mengelakkan berlakunya kerumitan akibat perasingan kuasa seperti ini, maka Perlembagaan Persekutuan meletakkan kedudukan kerajaan negeri itu bukan sahaja lebih rendah daripada kerajaan Persekutuan, tetapi juga kuasanya dalam hal ehwal tanah, kerajaan tempatan, dan kewangan hendaklah dijalankan mengikut dasar yang ditetapkan oleh tiga buah majlis negara yang ditubuhan oleh Perlembagaan”.
Ketiga-tiga majlis negara tersebut ialah Majlis Tanah Negara, Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan, dan Majlis Kewangan Negara.
Antara ketiga-tiga majlis tersebut, menurut Tun Salleh Abas, Majlis Kewangan Negaralah yang paling mustahak sekali. Ini kerana hal ehwal kewangan menjadi kelemahan kerajaan negeri, kerana hasil yang dimiliki oleh kerajaan negeri hanya boleh didapati daripada beberapa sumber yang tidak besar.
Segala wang yang diperlukan oleh kerajaan negeri untuk pentadbiran dan pembangunannya, datang daripada tiga sumber sahaja iaitu hasil kepunyaan negeri itu sendiri, pemberian daripada kerajaan Persekutuan, dan pinjaman.
Malah dalam hal pinjaman wang, kerajaan negeri juga tidak mempunyai kebebasan, kerana mengikut Perlembagaan Persekutuan, kerajaan negeri hanya boleh meminjam daripada kerajaan Persekutuan.
Sebelum ini Menteri Ekonomi ada mempertikaikan tindakan Perlis dan Kelantan yang memohon pinjaman dengan Kerajaan Persekutuan. Tidak lama selepas itu pada 21 Ogos, Ketua Menteri Melaka dilaporkan berkata, Melaka mohon hutang kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM633 juta ditukarkan kepada bentuk geran, memandangkan kebanyakan pinjaman itu dibuat bagi tujuan keperluan asas, kebajikan dan sosial rakyat.
Menurut Ketua Menteri Melaka, pinjaman dengan kerajaan Persekutuan itu dibuat sebagai sumber peruntukan oleh kerajaan negeri bagi tujuan-tujuan berkenaan, yang dimeterai sejak 1970-an hingga 2015.
Saya tiada masalah dengan permohonan Melaka ini, kerana saya faham sukarnya Kerajaan Negeri menguruskan pentadbiran dan pembangunan negeri, dan pastinya saya lebih faham kerana kami datang dari negeri pembangkang sejak 1990-an, 30 tahun Tuan Speaker. Kalau Melaka yang tidak pernah jadi pembangkang pun perit, kami di Kelantan apatah lagi.
Mengapa saya bangkitkan perkara fundamental ini, supaya kita semua sebagai penggubal undang-undang, apatah lagi kami generasi muda, dapat menghayati dan memahami kebijaksanaan generasi bapa-bapa terdahulu dalam menggubal perlembagaan Persekutuan, dan meletakkan batu asas yang penting dalam menjaga sempadan, hubungan dan hal ehwal kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri secara adil dan saksama.
Federalisme, Tuan Yang Di-Pertua, bukan sekadar dilihat dari aspek undang-undang, tetapi lebih penting dari itu mestilah dilihat dari aspek pembangunan ekonomi dan pengurusan kewangan, supaya keadilan ekonomi dan keadilan sosial dapat ditegakkan, sebagaimana digariskan dalam KSP RMK12.
Dalam hal ini saya menyambut baik komitmen Kerajaan untuk meneruskan usaha Mengoptimumkan Potensi Ekonomi Wilayah, Mentransformasi Pembangunan Luar Bandar, Meningkatkan Penyediaan Infrastruktur Luar Bandar, dan Memaksimumkan Penggunaan Tanah Untuk Ekonomi Luar Bandar.
Permintaan saya satu sahaja, negeri bertuah seperti Kelantan, dan daerah termiskin seperti Bachok, janganlah tercicir daripada Rolling Plan yang berbaki dalam RMK12 ini.
Tidak lupa juga dalam tajuk Federalisme Ekonomi ini, isu royalti minyak Kelantan.
Hasil petroleum adalah suatu sumber baharu bagi negara ini, khususnya selepas insiden ‘Oil Shock 1973’ yang berpunca daripada sekatan bekalan minyak oleh negara-negara Arab pengeksport minyak (OPEC), menyebabkan harga minyak mentah meningkat 4x ganda dalam tempoh 6 bulan tersebut, sehingga bukan sahaja menjejaskan ekonomi negara yang disasarkan sahaja, tetapi ekonomi dunia seluruhnya.
Kebanyakan negara membangun yang mengeluarkan minyak, termasuklah Malaysia ketika itu mula menyedari kepentingan mempunyai kuasa mengawal dan menyelia pengendalian sumber minyak negara dari sudut ekonomi dan strategik.
Kawalselia dan tatakelola sumber minyak di Malaysia bergantung kepada TIGA akta Parlimen iaitu Akta Pelantaran Benua 1963 (Continental Sheft Act 1963), Akta Perlombongan Petroleum 1963 (Petroleum Mining Act 1963) dan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (Petroleum Development Act 1974).
Tiap-tiap akta ini mempunyai sejarahnya yang tersendiri.
Saya telah menekuni sejarah panjang isu ini, di samping meneliti aktanya, perjanjiannya, perbahasannya, dan pendirian yang diambil oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan PETRONAS dalam isu yang sangat sensitif ini.
Tokoh yang paling layak mengingatkan kita akan tujuan penggubalan akta-akta parlimen ini (the legislative intent), khususnya Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) ialah Tengku Razaleigh Hamzah, beliau masih ada.
Orang kedua yang paling layak mentafsirkan undang-undang dan intepretasi isu ini sudah tiada, iaitu Tun Salleh Abas, bekas Ketua Hakim Negara, yang merupakan Peguam Cara Negara yang bertanggungjawab mendrafkan setiap klausa akta dan perjanjian berkaitan royalti petroleum ini.
Saya petik penghujahan Tun Salleh Abas apabila royalti petroleum 5% kepada Negeri Terengganu ditarik, ditukarkan kepada wang ehsan, dan tidak melalui Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran PAS ketika itu, beliau berkata: “Negeri Terengganu mendapat royalti bukan dengan sebab Tun Razak kata mesti beri kepada Terengganu kerana ia miskin, tetapi kerana minyak didapati di Terengganu.”
Malah beliau turut berhujah tentang had sempadan continental shelf yang menjadi pertikaian, yang hari ini digunakan untuk menyekat hak Kelantan dan dahulunya Terengganu terhadap royalti minyak 5%, tidak seperti Sabah dan Sarawak yang terkecuali daripada pengehadan sempadan ini sebelum penubuhan Malaysia pada tahun 1963.
Bersama PDA 1974 ialah 13 perjanjian lagi yang dikenali sebagai Assignments Deeds and Vesting Grants. Kedua-duanya ditandatangani secara berasingan di antara 13 kerajaan negeri dan kerajaan pusat sekitar tahun 1975 dan 1976.
Kesemuanya memberikan hak kepada Petronas untuk petroleum yang berada di darat atau pesisir pantai Malaysia, dengan pulangan wang tunai secara tahunan bersamaan dengan nilai 5% petroleum yang dikeluarkan kepada negeri.
Sekali lagi, tiada ukuran batu nautica yang diperincikan bersama definisi istilah ‘pesisiran pantai’.
Pada hemat Bachok, isu royalti 5% ini bukan isu teknikal, bukan juga isu intepretasi undang-undang, tetapi isu pemilikan hak, hak yang asalnya milik negeri-negeri, dan telah diserahkan kepada Persekutuan, melalui akta dan perjanjian yang perlu dihormati.
Realitinya, Kelantan dan Terengganu dinafikan hak royalti sewaktu diperintah PAS, hal ini cukup jelas sekali. Lebih menyedihkan, kita menyaksikan bahawa keempat-empat negeri pengeluar minyak ini merupakan antara negeri termiskin di Malaysia.
Dari segi insiden kemiskinan mutlak mengikut negeri bagi tahun 2022, Sabah di tangga kemiskinan tertinggi 19.7%, diikuti Kelantan 13.2%, Sarawak 10.8%, manakala Terengganu 6.2%.
Justeru setelah meneliti semua ini, Bachok berpandangan kita perlu jujur, kita perlu jujur untuk memuktamadkan permasalahan legasi ini, sebagai tanda kita menghormati penubuhan Persekutuan ini, menghormati perjanjian-perjanjian yang telah dimetrai pada 1975 & 1976, dan jangan sampai kita sendiri memperkecilkan kuasa Parlimen yang telah meluluskan Akta Petroleum ini pada tahun 1974, apatah lagi menghukum rakyat yang telah memberikan mandat kepada pembentukan kerajaan negeri yang sah, di Kelantan sejak 1990 dan Terengganu sekali pada 1999-2004.
Royalti adalah hak. Saya ulang, royalti adalah hak.
Keempat, Kedaulatan Ekonomi
Saya menyokong penuh usaha kerajaan bagi mencapai outcome yang lebih saksama untuk Bumiputera, melalui strategi mengembangkan perniagaan Bumiputera, meningkatkan penciptaan kekayaan Bumiputera, dan memastikan pemilikan ekuiti korporat Bumiputera dengan penguasaan berkesan.
Namun saya sedikit tersinggung apabila membaca laporan akhbar berkaitan strategi pelaburan yang diambil oleh kerajaan Madani ini, sehingga sanggup mengenepikan syarat pemilikan ekuiti tempatan semata-mata untuk menarik masuk pelaburan asing.
Perkara ini turut dibangkitkan oleh ‘our learned brother’ YB Pasir Gudang, yang bimbang dengan pengumuman Pelan Induk Perindustrian Baharu yang dilancarkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini,
“Pendekatan strategi pelaburan secara liberal ini dianggap bukannya progresif, tetapi regresif atau undur ke belakang, dan khuatir akan mengembalikan penguasaan modal asing melebihi penguasaan ekuiti modal nasional tempatan seperti zaman sebelum adanya Dasar Ekonomi Baru (DEB)”.
Contoh yang diberikan, kemasukan syarikat TESLA milik Elon Musk, pemodal terkaya dunia dari Amerika Syarikat ke negara ini, diberikan pengecualian 100% pemilikan asing, jika tidak dikawal akan membahayakan ekonomi negara pada masa akan datang.
Terbaharu, laporan Malay Mail bertarikh 8 September 2023, “MCMC says co-existence study not done for Starlink before green light given to operate”.
Bilakah lesen ini diberikan? Laporan itu menyatakan, “The licence was issued by the MCMC just days after Prime Minister Anwar Ibrahim had a video call with Elon Musk and the government had placed an order for 40 Starlink satellite broadband kits”.
Lebih mengejutkan Starlink turut diberikan pengecualian 100% pemilikan asing, “As confirmed by the MCMC earlier, Starlink has been given the green light to operate as a 100 per cent foreign-owned entity. The government waived the 49 per cent threshold for foreign equity imposed on NFP(I) and NSP(I) licence holders based on the assessment made on the value and benefits to be provided by Starlink Malaysia”.
Ini bagi saya satu malapetaka besar kepada kedaulatan ekonomi negara, sanggup kita melanggar syarat yang telah pun tersedia, dek keghairahan untuk mengejar angka pelaburan asing dan menarik pemodal asing ke dalam negara. Ekonomi Madani bagi saya tidak patriotik. Saya ulang, tidak patriotik.
Gua Bama sungai hulu,
Kuala Damak berbatu karang,
Hamba umpama dagang lalu,
Nasi ditanak milik orang.
Kelima, strategi untuk menambah baik Kedudukan Kewangan dan Daya Tahan Fiskal Kerajaan Persekutuan.
Kerajaan memberikan komitmen untuk memperkukuh pengurusan fiskal dengan menggubal undang-undang mengenai tanggungjawab fiskal. Langkah ini merupakan satu daripada inisiatif di bawah Anjakan Besar Kemampanan Fiskal dan Sistem Kewangan, bagi memperluas asas hasil, memperkemas pelepasan cukai, mengurangkan ketirisan dan pembaziran dalam perbelanjaan serta menambah baik pengurusan hutang.
Soalan saya, bilakah dijangka RUU ini dibentangkan?
Pada masa sama, kerajaan mengambil usaha untuk menggubal akta Baharu mengenai hutang dan perolehan (termasuk menghapuskan amalan Ali-Baba; Melayu/ UMNOPutera dapat kontrak, jual kontrak kepada Cina), serta menyemak semula garis panduan kerjasama awam swasta (Public Private Partnership).
Soalan saya, bilakah dijangka RUU ini dibentangkan?
Selain itu, pengurusan hasil akan diperkukuh bagi membolehkan kutipan cukai yang lebih baik. Inisiatif yang akan dilaksana, termasuk memperluas asas cukai serta menerima guna teknologi dan pendigitalan, antaranya dengan mempelbagaikan sumber cukai.
Soalan saya, adakah ini bunga-bunga ke arah mengembalikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), dan apakah strategi kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan fiskal terhadap sumber hasil petroleum?
Keempat, penggunaan statistik rasmi dalam merangka pembangunan sosio-ekonomi negara, negeri dan daerah.
Terlebih dahulu saya rakamkan ucapan tahniah kepada pihak DOSM (Jabatan Perangkaan Malaysia), kerana saya menyaksikan evolusi dan pembaharuan di pihak DOSM untuk ‘memasyarakatkan’ segala statistik yang ada kepada pihak awam, khususnya pelajar, penyelidik, dan agensi di peringkat negeri dan daerah.
Saya syorkan peranan Jabatan Statistik ini diperkasakan, bukan sekadar untuk menghasilkan angka-angka ekonomi, tetapi diperluaskan dalam bidang pendidikan, kesihatan, sains dan teknologi supaya setiap dasar, polisi, program dan projek yang dilaksanakan, benar-benar menepati keperluan dan unjuran di sesebuah kawasan, dan amat wajarlah diletakkan syarat dalam setiap kelulusan projek supaya ada ‘Piagam Statistik’ yang perlu dipatuhi supaya setiap kertas cadangan (proposal) yang diangkat adalah berdasarkan data dan kajian, bukan rekaan dan khayalan semata-mata.
Sebagai kesimpulan, Bachok ingin mengulang beberapa pernyataan penting berikut:
1. Berbahaslah secara matang dengan menyentuh perkara-perkara dasar, elemen-elemen struktural, masa depan generasi muda, dan pastinya halatuju negara yang tercinta ini.
2. Manfaatkanlah tempoh kekuasaan yang ada untuk berlaku adil, jangan menzalimi mana-mana pihak, berbaktilah kepada negara, dan wariskanlah negara tercinta ini dalam keadaan baik dan tatakelola yang sempurna.
3. Penyelesaian kepada belenggu kemiskinan ini perlu meluas dan menyeluruh – ekosistemnya, rantaiannya, populasinya, lokalitinya; juga perlu dijadikan agenda negara melalui pendekatan menyeluruh (whole of nation approach).
4. Federalisme, bukan sekadar dilihat dari aspek undang-undang, tetapi lebih penting dari itu mestilah dilihat dari aspek pembangunan ekonomi dan pengurusan kewangan, supaya keadilan ekonomi dan keadilan sosial dapat ditegakkan.
5. Kedaulatan dan kemerdekaan ekonomi, perlu dipertahan dan jangan dipergadaikan.
6. Kelantan, dan Bachok jangan dianaktirikan. Kementerian Pertanian, sokonglah nelayan, petani, dan pengusaha lembu sado di Bachok. Pendidikan, jenguklah sekolah daif yang banyak di Bachok. Luar bandar, turaplah jalan-jalan desa yang masih berdebu di Bachok. JKR & JPS, perbaiki infrastruktur, jalan dan saliran di Bachok. KPKT & Pelancongan, perindahkanlah Pantai-pantai yang indah di Bachok.
Merdeka dilaungkan Tunku Abdul Rahman,
Doa dibaca Mufti Negeri Sembilan,
Ekonomi merdeka didambakan watan,
Semoga beroleh berkat kestabilan.
Apa ditakut menyeberang titi,
Beras tak tumpah gula tak surut,
Apa ditakut menyeberang ke sini,
Demi maruah pemberani tak takut. – HARAKAHDAILY 13/9/2023
Tulisan di atas adalah petikan teks ucapan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman semasa membahaskan Kajian Separuh Penggal RMK-12 di Dewan Rakyat pada 12 September 2023.