KUALA LUMPUR: Lim Guan Eng (PH-Bagan) melenting apabila diminta penjelasan mengenai keputusan kerajaan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (PN-Putrajaya) yang mencelah ucapan Guan Eng ketika perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) pernah membuat perancangan untuk menukar Peguam Negara sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu.
Menurutnya, perkara itu juga disuarakan oleh Datuk Seri Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) yang sekarang dilantik mengemudi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
“Apa yang disebut DNAA itu, saya ingin mendapat pandangan Bagan apabila Kota Raja sebelum PRU15 menyebut bahawa jika menang, maka akan ditukar pendakwa raya, peguam negara.
“Apakah perkara ini (DNAA) telah dijangka oleh Bagan sebelum PRU15 lepas dan Kota Raja pun hadir di dewan…di depan sini,” katanya.
Ini menyebabkan Pengerusi DAP Kebangsaan itu melenting dan meminta PERIKATAN NASIONAL (PN) tidak mencampuri badan kehakiman untuk menukar dan melantik Peguam Negara yang menepati selera ahli politik.
Menurutnya, Peguam Negara yang dilantik ketika PN, Tan Sri Idrus Harun dikekalkan sehingga akhir perkhidmatan dan digantikan oleh Dato’ Ahmad Terrirudin Mohd. – HARAKAHDAILY 13/9/2023