Kerajaan Pusat perlu pertimbang laksana KXP

KUALA LUMPUR: Ir Ts Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) menggesa kerajaan Pusat supaya mempertimbangkan kelulusan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang menjadi sebahagian pembangunan Projek Kedah Aerotropolis.

Katanya, projek inisiatif pembiayaan swasta (PFI) itu yang tertumpu kepada Hab Kargo Pemindahan Penghantaran Antarabangsa, Operasi, Pembaikan dan Penyelenggaraan (MRO), Taman Bisnes dan Pengeluaran, Aeroangkasa dan Logistik Sidam (SLAM) sebenarnya bersifat pelengkap kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Advertisement

“KXP Seterusnya menjadi pemangkin untuk meningkatkan jumlah pelanggan atau penumpang yang akan mendarat di LTAPP yang dianggarkan seramai 12 juta penumpang melalui projek Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Pendapat ini juga ditekankan oleh bekas Ahli Parlimen DAP selama dua penggal dan bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming berhubung hal rantaian bekalan serantau ini,” katanya ketika sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal RMK12 di Dewan Rakyat, hari ini.

Khairil Nizam yang juga Ketua Portfolio PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi Kementerian Pengangkutan menekankan aspek memangkin urbanisasi melalui transformasi sektor pengangkutan melalui ketersambungan mobiliti setempat.

Sementara itu, beliau meminta kerajaan menyatakan perkembangan terbaru projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura (KL-Singapura) yang sebelum ini dimaklumkan akan diteruskan menerusi PFI. – HARAKAHDAILY 13/9/2023