Kami tetap bersama Tuan Guru Abdul Hadi

“SAYA sedia menunggu untuk dibicara di mahkamah dan saya sedia dihukum. Tak tahulah dihukum itu penjara atau denda, saya pilih penjara.” (rekod catatan penulis sendiri)

Inilah ucapan wakil Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dalam sesi pagi tadi di Dewan Rakyat.

Sebelum ini rakyat ketahui yang Tuan Guru disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 oleh pihak Polis kerana kononnya mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan menerusi ceramahnya di Markas PAS Bakri, Muar pada 26 Ogos lalu.

Jika sabit kesalahan bawah seksyen ini tertuduh boleh dikenakan denda hingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut Ketua Polis Negara kertas siasatan terhadap Tuan Guru telahpun diserahkan ke Pejabat Peguam Negara menunggu tindakan selanjutnya.

Kenyataan Tuan Guru itu pagi tadi menunjukkan beliau seorang tokoh politik yang berprinsip dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dalam mempertahankan prinsipnya yang diyakini benar.

Beliau bukannya penyakau atau kleptokrat yang memalukan agama dan bangsa, tetapi beliau pejuang yang berdiri berhujah atas ilmu dan kefahamannya. Dan jika kerana itu beliau dikatakan bersalah, beliau bersedia bertanggungjawab. Tidak perlu DNAA, beliau bersedia ke penjara dan hilang kerusi.

Pasti setiap anak bangsa yang mendengar hujah ini akan tersentuh hatinya, berbangga rupanya masih ada pemimpin Melayu Islam hari ini yang bermaruah dan sedia berkorban demi prinsip perjuangannya.

Kami tetap bersama Tuan Guru.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR
Setiausaha
PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 13/9/2023

Advertisement