KOTA BHARU: Generasi muda sebagai golongan pelapis di negara ini perlu diberi pendedahan bagi melahirkan modal insan yang mahir dalam bidang Sains Teknologi dan Inovasi (STI).
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, kemahiran tinggi dalam bidang berkenaan dapat memacu pembangunan negara.
Katanya kemahiran tersebut bersangkut paut rapat dengan kemahiran dalam bidang science, technology, engineering and mathematics (STEM).
“Pendidikan STEM merupakan asas penting bagi penghasilan modal insan yang diperlukan,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Semarak Kemerdekaan 2023 di Dewan Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan di sini, hari ini.
Menurutnya juga kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) menjalinkan kerjasama dengan National STEM Association Malaysia (NSA) bagi menyemarakkan aktiviti STEM.
Kata beliau kerjasama bagi memastikan bidang STEM dapat disubur dan digunakan sebagai solusi kepada kehidupan mereka.
“Beberapa aktiviti dilaksana bagi mempertingkatkan kesedaran rakyat Kelantan kepada bidang STEM terutamanya pelajar.
“Kerajaan negeri berhasrat meluaskan lagi kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta serta Institut Kemahiran dalam pelbagai bidang,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/9/2023