KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memberi penjelasan mengenai pengumuman RM800 juta dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) bagi menyelesaikan gangguan bekalan air.
Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mempertikaikan jumlah itu dengan persoalan adakah membabitkan dua negeri, Kelantan dan Sabah yang sering berhadapan masalah itu.
Beliau berkata, Kelantan memerlukan kira-kira RM8 bilion, manakala Sabah memerlukan sehingga RM10 bilion untuk menyelesaikan krisis air secara tuntas dengan bantuan kerajaan Persekutuan.
“Terima kasih, tetapi saya fikir itu masih belum cukup dengan pemintaan Kelantan yang secara keseluruhan memohon RM8 bilion, tetapi kemudian kerajaan menyatakan RM1 bilion sudah mencukupi bagi Kelantan.
“Jadi adakah RM800 juta adalah jumlah untuk Kelantan sahaja atau Kelantan dan Sabah. Saya fikir kalau dibahagikan, belum cukup memastikan perkhidmatan air selesai,” katanya ketika sesi perbahasan KSP RMK12 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan bersetuju menyalurkan bantuan segera RM800 juta bagi menyelesaikan gangguan bekalan air.
Bantuan tersebut, katanya merupakan sebahagian daripada kos keseluruhan yang mencecah RM5 bilion bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air di dua negeri, iaitu Kelantan dan Sabah. – HARAKAHDAILY 12/9/2023