SAYA sokong penuh rancangan Perdana Menteri ke-10 (PMX), tapi jangan buat tindakan bertentangan dengan rancangan.
Saya alu-alukan langkah kerajaan untuk membangunkan dasar larangan eksport bahan mentah nadir bumi (Rare Earth Elements – REE) bagi membolehkan negara mendapat pulangan yang maksimum.
Datuk Seri Anwar memaklumkan perkara tersebut ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat semalam.
Menurut Anwar, industri nadir bumi di negara ini dijangka mampu menyumbang hampir RM10 bilion kepada KDNK menjelang tahun 2025. Ia juga dijangka mampu menawarkan kira-kira 7,000 peluang pekerjaan.
Apa yang dinyatakan oleh PMX mengenai potensi industri nadir bumi di negara ini telah saya ajukan kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YB Chang Lih Kang dlm surat saya pada bulan Mac lalu.
Surat tersebut turut dihantar salinannya kepada YAB Menteri Besar Pahang dan YB Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang.
Surat saya itu memohon YB Menteri untuk mempertimbangkan semula arahan kerajaan kepada syarikat Lynas Malaysia Sdn Bhd untuk menutup fasiliti pemecahan dan larut lesap (cracking and leaching facility) di kilangnya di Gebeng.
Pelik bila kerajaan berhasrat membangunkan industri nadir bumi tetapi dalam masa yang sama menutup fasiliti sedia ada yang boleh dimanfaatkan.
Saya ketengahkan bahawa arahan penutupan tersebut bukan sahaja akan menyebabkan ratusan pekerja tempatan kehilangan kerja malah juga boleh menjejaskan potensi ekonomi dalam industri nadir bumi di negara ini.
Dalam Sidang Parlimen yang lalu, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubaham Iklim mendedahkan bahawa Malaysia memiliki simpanan lebih 16 juta tan bahan mentah nadir bumi yang bernilai lebih RM800 bilion. 29 lokasi telah dikenalpasti di Kedah, Kelantan, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Sarawak, Selangor dan Terengganu.
Ketika kini, China mendominasi bekalan bahan nadir bumi dunia yang diperlukan untuk pengeluaran produk pertahanan, telekomunikasi, pengangkutan dan elektronik.
Infrastruktur Lynas di Gebeng, Kuantan pula merupakan satu-satunya fasiliti yang disifatkan sebagai loji pengasingan nadir bumi terbesar dan paling moden di luar China.
Oleh itu, bertepatan dengan langkah kerajaan yang diumumkan semalam saya utarakan sekali supaya kerajaan mempertimbangkan semula arahan penutupan fasiliti pengasingan bahan nadir bumi Lynas di Gebeng.
Saya yakin ia keputusan strategik yang boleh membantu rancangan pembangunan industri nadir bumi negara ini dalam jangka pendek dan jangka panjang selain menyelamatkan nasib ratusan pekerja tempatan dan memelihara ratusan juta nilai kitaran ekonomi sedia ada.
Bukankah Kerajaan PH-BN sudah berulang kali akhirnya mengekalkan dasar, langkah dan keputusan kerajaan terdahulu walaupun berpendirian sebaliknya ketika kempen pilihan raya?
Jadi apalah kiranya melakukan perkara yang sama juga kali ini.
YB ANDANSURA RABU
ADUN Beserah – HARAKAHDAILY 12/9/2023
Rujukan:
1. https://www.nst.com.my/news/government-public-policy/2023/09/953755/govt-ban-export-rare-earth-raw-materials?fbclid=IwAR3mZc8964trAB0nvGJH7017fAsBodHfjAR0VJShpAzrIT6OjefM2mrFny4
2. https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2023/06/15/rm809bil-worth-of-rare-earths-found-in-malaysia-dewan-rakyat-told/?fbclid=IwAR2b6bwxrmimzCOM2xFUK7OfGAfTwGmXUfcDFo7kb2kcPH1DG7WF4-uLDdo
3. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/05/1098586/lanjutan-6-bulan-operasi-lynas-elak-rantaian-nadir-bumi-global?fbclid=IwAR2_TtX6rQ9X7ju-o7o3UJopA5s84SYFZMlzXOQXUBO15rjjLmrt78Ub6R4
4. https://harakahdaily.net/index.php/2023/05/13/lynas-tarik-lesen-dikhuatiri-jejas-pelaburan-di-pahang/?fbclid=IwAR2WuE8l6Zjwsojw2QX0_TjejWsW4Lz8aOCY5G4XTAPcdcRLb0MvzBYFZr8