Kedah rintis tanam padi lima kali dua tahun

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu merangka pelan jangka panjang bagi memastikan kebergantungan negara terhadap bekalan makanan import, terutama beras, dapat dikurangkan.

Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) berkata, isu keselamatan makanan mesti diberikan perhatian khusus seperti yang pernah dilakukan oleh kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN)

Advertisement

Beliau berkata, agensi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di negeri juga diminta melibatkan kepimpinan kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah itu.

“Sama ada di kawasan jelapang agensi kerajaan pusat atau di luar jelapang, kita melihat hari ini, isu besar ialah keluasan sawah padi merosot akibat kerancakan pembangunan.

“Pembangunan akhirnya menyebabkan kawasan sawah padi semakin mengecil, sebab itu lah kita perlu ada rangka jangka panjang untuk pastikan ada kawasan penanaman baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Aktiviti penanaman padi di Kelantan dalam kawasan jelapang diselia oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) dan Kedah pula oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada).

Ahmad Tarmizi berkata, kerajaan PN sebelum ini juga merancang untuk mewujudkan kawasan penanaman padi baharu melalui kaedah baharu, iaitu Smart SBB.

Selain itu, katanya hasrat Kedah yang menjadi perintis pelaksanaan penanaman padi lima musim bagi tempoh dua tahun dijangka mencapai hasrat meningkatkan pengeluaran tempatan.

“Begitu juga kerajaan negeri Kedah di bawah PN telah memulakan langkah penanaman padi lima kali dua tahun dan Alhamdulillah, kita capai apa yang kita nak.

“Malah usaha ini disebut akan diteruskan oleh kerajaan negeri dan usaha ini sangat besar bagi meningkatkan hasil penanaman padi beras tempatan kita agar tidak ada masalah lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/9/2023