FAJAR 13 Ogos 2023, rakyat memisat mata pagi itu dengan udara segar angin perubahan yang membadai negara ini dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang melibatkan enam buah negeri. Seperti mimpi indah yang mendamaikan sukma, PAS mencuat kedudukannya pada papan carta kemenangan, diratib namanya dalam pelbagai medium pemberitaan negara sama ada arus perdana atau media sosial.
Parti Islam ini mendominasi kerusi Parlimen sejak 22 November 2022 dan DUN, dengan 148 orang ADUN di seluruh negara. PAS telah menambah pangkalan kuasanya di Perlis penghujung tahun lepas. Sebulan lalu, berkuku teguh di Kelantan, Terengganu dan Kedah. BN-PH dibenam tak meninggal zuriat di negeri Tok Ku Paloh, tinggal batu nesan di Kelantan dan hanya mampu menang tiga kerusi di Kedah (dilabun sebelum itu telah ada 16 kerusi selamat BN-PH di Kedah).
Gema takbir, tasbih dan istighfar memenuhi ruang udara malam 12 Ogos berselang dengan raungan bertingkah hon kenderaan yang meraikan kemenangan PAS, PERIKATAN NASIONAL di jalanan. Euforia gembira ini diusung oleh anak-anak muda yang begitu teruja dengan kemenangan, kelompok pengundi muda yang paling besar jumlahnya dalam hierarki umur pengundian. Anak muda yang terdedah dengan maklumat di hujung jari, menjatuhkan parti yang paling lama berkuasa di negara ini, juga menolak gabungan politik yang menjadi antik-antik kuasa Barat serta ingin melihat pemuafakatan baru politik yang bersih yang mampu menjalankan tatakelola kerajaan yang baik. Kerajaan luar tabie PMX tak didukung oleh umat Islam kecuali segelintir NGO penjilat kerajaan dan masyarakat bukan Melayu yang merasa terbela ampuh di bawah kerajaan Anwar.
Tahniah berganda kepada amilin PAS/PERIKATAN NASIONAL, pendukung PAS termasuk yang bukan Islam melalui DHPP, kerana kalianlah pemenang sebenar pilihan raya ini. Bersengkang mata, mengucur keringat, ditikam panas matahari, berhujan demi memastikan calon-calon PN/PAS menggapai kemenangan. Bertahun ahli-ahli yang ikhlas ini menabung untuk menyediakan PAS kewangan yang baik, tabung-tabung buluh dan tin milo menjadi saksi iltizam mereka untuk meraih kemenangan, bukan seperti fitnah avatar PH, pendanaan PAS daripada taikun judi!
Parti Islam ini tak didukung oleh para cukong, harakatul ummah ini tidak pandai bab sakau menyakau sehingga suburnya budaya kroni kapitalisme dalam negara. Kontraktor-kontraktor besar kurang berminat melingkari parti pak lebai ini kerana orientasi dan tendensi gerakan ini bukan untuk menumpuk harta. Dalam kocek ahli-ahli PAS itulah harta paling berharga yang dimiliki oleh gerakan Islam tertua negara ini. Segalanya bermuara daripada niat yang bersih dan keikhlasan berjuang. Kelompok pak lebai ini ditarbiah untuk berkorban untuk deenullah.
Keikhlasan dan istiqamah mudah disebut, meluncur di bibir mulut namun untuk dilaksanakan paling sukar.
Harakatul ummah ini merimbun dengan hadirnya ribuan cendikiawan pelbagai latarbelakang, ribuan teknokrat serta doktorat yang mampu untuk membangunkan negara ini jika diberi peluang. Golongan anak muda menyedari siapakah kelompok teras dalam PAS.
Penghujung tahun lepas sebuah akhbar berbahasa Cina telah mendedahkan hakikat bahawa parti Islam inilah yang mempunyai ramai pendukung yang berpendidikan tinggi yang bersiap mengambil alih pemerintahan negara dengan dipaparkan wajah Naib Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (PhD aeroangkasa) di muka hadapan akhbar. PAS telah melepasi tujuh dekad perjuangan kerana adanya watak-watak yang dikenali di langit, mereka bekerja keras memenangkan PAS dengan idea-idea cerdas seperti almarhum Dr Khazani Abdullah.
Di kawasan perdesaan pula, rakyat jembel yang mendukung PAS, sanggup melakukan apa sahaja agar perjuangan ini mencapai matlamat. Dalam PRN15 bulan lepasi, ada seorang bapa membelanjakan lima ribu ringgit bagi membeli tiket anak-anaknya di Sabah balik mengundi PAS. Pos-pos pilihan raya PAS di pelbagai tempat meriah dengan aktiviti, pastilah pelbagai juadah disediakan bak menyambut hari raya dengan bulan penuh sentiasa kelihatan. Rakyat jembel ahli PAS, mereka ikhlas dan berkorban untuk perjuangan Islam tanpa adanya matlamat peribadi, agenda tersembunyi untuk meraih laba dunia, mobiliti sosial dan sebagainya.
PAS sentiasa didoakan oleh orang miskin yang memegang teguh nilai beragama, jamaah ini dibentengi oleh sang jembel yang sentiasa ingin berbahagi hartanya dengan jamaah yang dicintainya. Kelompok inilah yang kita temui setiap kali himpunan besar di kota raya, datang daripada hujung kampung, menabung duit untuk menyertai rombongan ke muktamar, himpunan, demonstrasi, dan lain-lain program jamaah. Kadang dengan sandal buruk, baju atau jubah yang lusuh namun memerhati dengan bangga kearah pentas pimpinan.
Kelompok ahli yang istiqamah sehingga helaan nafas terakhir, mereka kadang tak dikenali, tak mendapat ganjaran dunia seperti elaun dan pencen namun kerja buat mereka untuk mendapat keredhaan Allah itulah yang menyuburkan perjuangan Islam walau berdada dengan pelbagai mehnah dan ibtila’.
Wahai pimpinan PAS yang menggalang jawatan ahli legislatif, juga jawatan lantikan adhoc politik, peliharalah bahtera jamaah ini daripada menjadi bahan cercaan dan penistaan, jagalah gaya hidup serta pergaulan dan jangan membina jarak dengan jentera parti yang bertungkus lumus memenangkan PAS dalam pilihan raya yang lalu.
PAS/PN semakin diminati ramai, PRK Pulai dan Simpang Jeram telah memberikan signal jelas bahawa umat Islam hampir 80 peratus telah memberikan undi kepada koalisi yang dilihat mampu menjaga agama dan bangsa. Rejim BN-PH tak akan mampu bertahan lama jika terus dengan politik rimba, menekan dan menindas pesaing politik, mengabaikan semangat federalisme serta barisan sang dungu yang membarisi Kabinet menteri. – HARAKAHDAILY 12/9/2023
Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.