KUALA LUMPUR: Negara perlu memberi ruang kepada sistem ekonomi yang bersumberkan kepada Tuhan yang mencipta manusia.
Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata sistem kapitalisme ternyata gagal dengan kebobrokan jurang ekonomi yang besar antara golongan yang kaya melampau dan golongan miskin yang menderita.
Selain itu, katanya hilang rasa tanggungjawab golongan tertentu yang mengaut keuntungan daripada keringat golongan miskin.
“Sebagai contoh apabila berlaku pandemik (Covid-19), kita tahu syarikat pembuat sarung tangan mendapat keuntungan bilion ringgit, tetapi pada waktu sama kita menyaksikan penoreh getah menderita.
“Sepatutnya mereka menyumbang kepada penoreh getah kecil dengan keuntungan yang diperolehi. Kita harap perkara ini dapat dilihat, bukan hanya satu dua syarikat, tetapi banyak syarikat yang mengaut keuntungan, kita biarkan,” katanya ketika sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.
Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS berpandangan bahawa sistem ekonomi yang lebih adil perlu ditegakkan kerana pada prinsipnya, Allah Taa’la sebut dalam ayat yang juga dibaca oleh Yang Amat Berhormat Tambun, iaitu “Berlaku adillah kerana adil itu amat hampir dengan taqwa.”
Dalam hadis yang masyhur yang semua umat Islam belajar, katanya antara tujuh golongan yang layak berlindung di arasy Allah pada hari tidak ada naungan melainkan naungan arasy Allah ialah pemimpin yang adil.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri bahawa satu kajian dan seminar akan diadakan pada akhir tahun ini bagi meneliti aspek ekonomi dari sudut perspektif Islam, al-Quran dan hadis.
“Saya menyambut baik hasrat tersebut dan harapan kita supaya tidak hanya dalam bentuk seminar, tetapi dapat dilaksanakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/9/2023