TRIPOLI: Angka kematian di timur Libya akibat bencana banjir dahsyat selepas Ribut Daniel melanda sejak semalam, Isnin (11 Sept) kini mencecah 3,000 orang, dan 10,000 yang lain dikhuatiri hilang bersama-sama dengan 25 peratus atau suku daripada bandar Derna yang ‘telah lenyap’ dibawa arus ganas malapetaka mengerikan itu.
Jurucakap Bulan Sabit Merah Libya, Taqfiq Shukri berkata pada hari ini, Selasa (12 Sept) bahawa terdapat 2,084 orang disahkan maut, manakala ketua IFRC, Tamer Ramadan memberitahu jumlah penduduk yang hilang mencecah 10,000 setakat ini.
Kira-kira 20,000 orang telah dipindahkan, menurut anggaran; dan pentadbiran timur Libya yang berpangkalan di Benghazi, menganggarkan 3,000 orang terkorban.
Di ibu negara Tripoli, Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan Negara, Abdul Hamid Dbeibah mengumumkan pada hari ini bahawa sebuah pesawat bantuan yang membawa 14 tan bekalan dan kakitangan perubatan menuju ke Benghazi untuk membantu, walaupun masih terdapat kesukaran memasuki bandar Derna yang paling teruk terjejas.
Konvoi bantuan bergerak dari barat ke timur di Libya yang berpecah kerana kerajaan Tripoli yang diiktiraf antarabangsa telah mengisytiharkan wilayah timur sebagai zon bencana dan mengumumkan ia akan menghantar bantuan.
Pentadbiran Benghazi dalam satu kenyataan berkata bahawa lebih 1,000 mayat telah ditemui di bandar Derna yang dihuni populasi mencecah antara 85,000 hingga 90,000 orang.
Pada hari Isnin, Ribut Daniel melanda timur Libya, menyebabkan dua empangan di Sungai Wadi, Derna pecah dan melimpahkan berjuta-juta meter padu air ke hilir membanjiri dataran sungai, sebelum menenggelamkan Derna.
Blok pangsapuri sebahagiannya runtuh, dan jambatan pinggir laut dihanyutkan apabila air deras dari dua empangan itu mengalir ke laut.
Melaporkan dari Tripoli pada hari Selasa, wartawan Malik Traina dari Al Jazeera berkata, masih belum diketahui dengan tepat bilangan penduduk yang hilang dalam bencana alam ini dan anggaran antara 5,000 hingga 10,000 orang.
“Pihak berkuasa telah bergelut untuk sampai ke Derna,” kata Traina.
“Ini kerana jalan menuju ke bandar itu musnah atau terputus akibat banjir, namun bantuan sudah mula sampai kepada orang ramai di luar Derna,” tambahnya.
Bercakap kepada Al Jazeera pada hari ini, Selasa, Hani Shennib dari Majlis Kebangsaan Hubungan Libya-AS berkata: “Kira-kira 4 km persegi (1.5 batu persegi) bahagian di tengah-tengah bandar Derna telah terhakis sepenuhnya.”
“Ramai pesakit dan kakitangan terpaksa dipindahkan dari hospital yang dinaiki air, dan ramai yang masih terperangkap di kawasan banjir,” ujar Traina.
Sementara itu, ahli delegasi Persekutuan Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa ke Libya, Tamar Ramadan menyatakan kebimbangannya bahawa menangani impak banjir dahsyat itu adalah ‘di luar kemampuan kerajaan, masyarakat negara, rakyat’ Libya dan bantuan daripada negara-negara lain amat diperlukan.
Menteri Penerbangan Awam Benghazi, Hichem Chkiouat berjaya sampai kre Derna dan memberitahu agensi berita Reuters pada hari ini, Selasa: “Mayat bergelimpangan di mana-mana – di laut, di lembah, di bawah bangunan.
“Saya sangat pasti apabila mengatakan bahawa 25 peratus daripada bandar itu (Derna) telah hilang.”
Derna terletak di hujung timur Jebel Akhdar, salah satu kawasan hutan yang sangat sedikit di Libya; disebabkan iklimnya yang gersang, hutan membentuk hanya 0.1 peratus daripada kawasan tanah Libya.
Walau bagaimanapun, Derna terletak berhampiran kawasan tanah tinggi yang subur di timur Libya, yang merupakan kawasan paling basah di negara ini (600 mm purata hujan).
Peta tadahan air Wadi Derna, meliputi 540 km persegi di timur Libya, dan bandar ini dibina di sepanjang Wadi Derna, sungai yang sebelum ini kering sepanjang tahun. Dari segi sejarah, bandar ini telah berulang kali rosak akibat banjir.
Empangan Abu Mansur dan Derna di hulu bandar itu bertujuan untuk mengawal hakisan tanah dan mencegah banjir, namun malangnya, kedua-dua empangan pecah dan dimusnahkan oleh Ribut Daniel pada 11 Sept 2023 mendatangkan musibah dahsyat ini. – HARAKAHDAILY 12/9/2023