Ahli Parlimen PN desak usul DNAA dibahaskan

Foto Jabatan Penerangan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN) terus menuntut supaya usul berkaitan keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan berkaitan Yayasan Akalbudi dibahaskan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bermula, usul itu dikemuka semula oleh Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) kepada Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Md Nor.

Advertisement

Usul itu dibuat berdasarkan peraturan mesyuarat 18(1) selepas usul sama dikemukakan oleh Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) ditolak semalam.

“Saya sudah bawa semula usul itu bersama Machang, kenapa (usul) 18(1) perlu disegerakan untuk kepentingan orang ramai. Kami rasakan ia perlu dibincangkan sebab semua rakyat Malaysia membuka mulut.

“Parti politik membuka mulut. DAP membuka mulut. Termasuk parti MUDA, PKR serta peguam kanan di negara ini juga membuka mulut supaya Peguam Negara bagi penjelasan mengapa kes ini digugurkan,” katanya.

Shahidan berkata, pihaknya hanya mahukan supaya Peguam Negara memberi penjelasan terhadap hala tuju kes berkenaan, sekali gus menolak sangkaan ramai pihak seolah-olah kerajaan campur tangan dalam kes terbabit.

“Penolakan yang dibuat Speaker ( Tan Sri Johari Abdul) semalam juga bukan alasan. (Alasan) penolakan dibuat Speaker semalam kerana ketua majlis minta supaya perkara ini tak masuk dalam senarai.

“Sepatutnya Speaker memberi alasan mengapa dia menolak peraturan mesyuarat 18(1),” katanya.

Perkara dibangkitkan Shahidan disokong Ahli Parlimen PN lain yang terus mendesak supaya Yang di-Pertua Dewan Rakyat menunaikan janjinya untuk membenarkan usul itu dibahaskan dalam dewan.

“Semalam, Kami sudah berbincang dengan Speaker, beliau sudah memberi kelonggaran untuk dibahaskan selepas pembentangan RMK12. Tapi Speaker mungkir janji kepada kami,” kata Wan Ahmad Fayhsal.

Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) pula menegaskan punca Ahli Parlimen PN bangkit di Dewan Rakyat, hari ni kerana Yang di-Pertua telah memberikan komitmen.

“Itu isunya. Dari satu sudut kita akur kepada peraturan mesyuarat, kita faham. Tetapi Parlimen kita bergerak atas landasan konvensyen dan kebiasaan. Jadi, tidak ada pelanggaran atau ketidakpatuhan,” katanya.

Sementara itu, Ramli menjelaskan usul pertama di bawah Machang telah ditolak, sementara usul baharu dikemuka belum diputuskan Yang di-Pertua.

Sehubungan itu, beliau meminta Ahli Parlimen PN menunggu hingga Johari mempengerusikan sidang untuk bertanyakan status usul berkenaan. – HARAKAHDAILY 12/9/2023