PENGANUT Islam yang setia menjunjung Islam yang paling mulia tidak mampu dijual beli kerana Islam ialah kurniaan Allah SWT yang tidak boleh diletakkan harga.
Hanya kalangan yang jahil tentang Islam sahaja yang meletakkan harga dan nilai yang sama dengan barangan, dan bercakap seolah-olah adanya jual beli agama.
Hakikatnya, Islam ialah cahaya petunjuk Allah SWT yang memandu perjalanan hidup manusia. Allah SWT berfirman kepada Ahli Kitab yang meninggalkan kitab-Nya:
﴿يَـٰٓأَهْلَ ٱلۡكِتَٰبِ قَدۡ جَآءَكُمۡ رَسُولُنَا يُبَيِّنُ لَكُمۡ كَثِيرٗا مِّمَّا كُنتُمۡ تُخۡفُونَ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَيَعۡفُواْ عَن كَثِيرٖۚ قَدۡ جَآءَكُم مِّنَ ٱللَّهِ نُورٞ وَكِتَٰبٞ مُّبِينٞ١٥ يَهۡدِي بِهِ ٱللَّهُ مَنِ ٱتَّبَعَ رِضۡوَٰنَهُۥ سُبُلَ ٱلسَّلَٰمِ وَيُخۡرِجُهُم مِّنَ ٱلظُّلُمَٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ بِإِذۡنِهِۦ وَيَهۡدِيهِمۡ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٖ١٦﴾
“Wahai Ahli Kitab! Sesungguhnya, telah datang kepada kamu Rasul Kami, menjelaskan kepadamu banyak daripada isi al-Kitab yang kamu sembunyikan, dan banyak (pula yang) dibiarkannya. Sesungguhnya, telah datang kepadamu cahaya daripada Allah, dan Kitab yang menerangkan. (15) Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredaan-Nya ke jalan keselamatan, dan (dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu daripada gelap-gelita kepada cahaya yang terang benderang dengan izin-Nya, dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus. (16)” [Surah al-Ma’idah: 15-16]
Ayat ini ditujukan kepada kalangan Ahli Kitab yang melakukan penyelewengan terhadap kitab Allah yang diwahyukan kepada para rasul. Sedangkan, kitab itu adalah sempurna dalam semua aspek peranan manusia di alam dunia, termasuklah peranan berpolitik, berekonomi dan semuanya.
Maka, al-Quran wajib dijadikan petunjuk sepanjang jalan, supaya perjalanan hidup dalam segala aspek tidak terpesong atau dipesongkan, sesat atau disesatkan. Namun, kini kita melihat bagaimana agama Islam dipotong dan dikerat ajarannya oleh musuhnya sehingga menjadi agama yang tidak sempurna dan cacat.
Kini, kita menghadapi zaman apabila para mufti tidak dibenarkan memberi fatwa dalam urusan politik kerana katanya politik bukanlah sebahagian daripada urusan agama Islam. Adapun orang politik pula diharamkan memberi fatwa kerana tiada tauliah untuk berfatwa. Keadaan ini menunjukkan betapa al-Quran yang sempurna telah dikoyakrabakkan mengikut kehendak penjajah dan berterusan hingga sekarang.
PAS menjadikan al-Quran sebagai petunjuk sepanjang perjalanannya sehingga kini, termasuk untuk melihat dan menilai suasana politik semasa.
PAS nampak dengan jelas keterbukaan DAP dalam menentang Islam, sama ada melalui lisan mahupun tulisan. Penting untuk kita fahami bahawa adanya beza antara konsep perbezaan pandangan dengan penentangan, dua pendekatan yang tidak sama. Oleh sebab itu, Islam mengambil pendekatan yang berlainan terhadap dua perkara tersebut.
Sebagai contoh, konsep tiada paksaan untuk menganut agama, hal ini menunjukkan Islam menerima kewujudan perbezaan yang lahir daripada fitrah manusia yang berakal. Islam tidak memaksa manusia yang berakal, terpulang kepadanya untuk menggunakan akalnya dengan betul atau salah. Orang yang tidak berakal dianggap tidak mukallaf, maka tidak dibebankan kepadanya tanggungjawab dosa dan pahala. Firman Allah SWT:
﴿لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَاۚ…٢٨٦﴾
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya…” [Surah al-Baqarah: 286]
Taklif ialah dibebankan dengan suatu kewajipan dan tanggungjawab dengan syarat memiliki kemampuan, termasuk kemampuan akal untuk memilih agama. Maka, tiada paksaan dalam beragama. Adapun agama pula menentukan antara perkara yang benar dan salah dalam semua urusan manusia.
Islam mewajibkan syarat ikhlas dengan rela hati tanpa paksaan bagi penganutnya. Maka, Islam menetapkan bahawa tiada paksaan dalam beragama, lalu diizinkan penganut berbagai-bagai agama dan kefahaman untuk mengamalkannya.
Firman Allah SWT:
﴿لَآ إِكۡرَاهَ فِي ٱلدِّينِۖ قَد تَّبَيَّنَ ٱلرُّشۡدُ مِنَ ٱلۡغَيِّۚ فَمَن يَكۡفُرۡ بِٱلطَّـٰغُوتِ وَيُؤۡمِنۢ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱسۡتَمۡسَكَ بِٱلۡعُرۡوَةِ ٱلۡوُثۡقَىٰ لَا ٱنفِصَامَ لَهَاۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ٢٥٦﴾
“Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Kerana itu sesiapa yang ingkar kepada taghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang teguh kepada simpulan tali (agama) yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” [Surah al-Baqarah: 256]
Firman Allah SWT:
﴿وَلَوۡ شَآءَ رَبُّكَ لَأٓمَنَ مَن فِي ٱلۡأَرۡضِ كُلُّهُمۡ جَمِيعًاۚ أَفَأَنتَ تُكۡرِهُ ٱلنَّاسَ حَتَّىٰ يَكُونُواْ مُؤۡمِنِينَ٩٩﴾
“Dan jikalau Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang yang ada di muka bumi seluruhnya. Maka, apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya?” [Surah Yunus: 99]
Adapun pendekatan menentang adalah apabila melakukan tindakan perlawanan yang boleh membawa kepada permusuhan secara melampau, sehinggakan mengheret umat supaya meninggalkan Islam daripada ajarannya dan meninggalkan pegangannya yang asal.
Allah SWT berfirman bagi membezakan dua pendekatan dalam hubungan dengan bukan Islam, antara keadaan yang diizinkan dengan yang diharamkan. Firman Allah SWT:
﴿لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ٩﴾
“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya, Allah hanya melarang kamu menjadikan orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu sebagai kawanmu. Dan sesiapa yang menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)” [Surah al-Mumtahanah: 8-9]
Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT memberi keizinan untuk mengadakan hubungan walaupun terdapat perbezaan, dengan syarat saling menghormati hak masing-masing. Sebaliknya, diharamkan mengadakan hubungan apabila bersikap melampau, sehingga menentang dengan cara tindakan politik dan lain-lain.
DAP menunjukkan penentangannya terhadap Islam secara terang-terangan dalam undang-undang tubuhnya iaitu menegakkan sekularisme yang bertujuan menghapuskan kedudukan Islam dalam pemerintahan negara. Sesungguhnya, fahaman sekularisme adalah bercanggah dengan firman Allah SWT:
﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا٥٩﴾
“Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul-(Nya), dan Ulu al-Amra (umara’ dan ulama’) antara kamu. Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” [Surah al-Nisa’: 59]
Ayat di atas menegaskan bahawa Islam seharusnya berada pada kedudukan tertinggi dalam negara. Akan tetapi, sekularisme merendahkan Islam sehingga menghapuskannya daripada berperanan dalam negara. Ia merupakan ajaran Injil yang telah diselewengkan daripada Islam yang dibawa oleh para rasul, sepertimana yang disebutkan dalam petikan berikut:
“Render unto Caesar the things which are Caesar’s, and unto God the things that are God’s.”
“Serahkan urusan kerajaan kepada raja (manusia), dan serahkan urusan Tuhan kepada Tuhan.” (Matthew 22: 21)
Sheikh Mustafa Sabri, Mufti Kerajaan ‘Uthmaniyyah yang terakhir; Sheikh Muhammad al-Khidr Husain, Rektor Universiti al-Azhar; Sheikh Abdul Aziz bin Baz, Mufti Arab Saudi; dan lain-lain, telah menegaskan bahawa sekularisme ialah ajaran sesat.
Adapun DAP masih bertegas untuk berpegang dengan konsep Malaysian Malaysia yang bertujuan menghapuskan konsep kebangsaan. Sedangkan, Allah SWT menegaskan soal kewujudan bangsa, warna kulit dan bahasa yang berbeza dengan hikmah-Nya. Firman Allah SWT:
﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ١٣﴾
“Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya, Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, lalu menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antaramu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” [Surah al-Hujurat: 13]
Firman Allah SWT:
﴿وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦ خَلۡقُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفُ أَلۡسِنَتِكُمۡ وَأَلۡوَٰنِكُمۡۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّلۡعَٰلِمِينَ٢٢﴾
“Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan langit dan bumi serta berbeza-beza bahasa dan warna kulitmu. Sesungguhnya, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.” [Surah al-Rum: 22]
DAP secara terbuka menentang kerajaan-kerajaan negeri di bawah pentadbiran PAS kerana telah bertindak mengharamkan arak dan judi, walaupun ia dilaksanakan kepada umat Islam sahaja tanpa gangguan terhadap hak bukan Islam yang dibenarkan oleh agama mereka.
Selain itu, DAP dengan sokongan Pakatan Harapan (PH) juga cuba menentang pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau dikenali RUU 355. Sedangkan, ia hanyalah bertujuan menukarkan hukum sebatan mengikut undang-undang sivil yang menyeksa dan mencederakan, kepada hukum Islam dengan sebatan yang mendidik tanpa mencederakan jasadnya.
Bahkan, DAP juga secara terbuka membantu dan membela orang Islam yang murtad yang dikira penjenayah dalam hukum Islam.
Setiausaha DAP, Anthony Loke, secara terbuka membuat kenyataan mempertahankan Perlembagaan DAP yang masih ada. Seterusnya, cuba mengheret penganut Islam supaya berjuang bersamanya.
Dalam pada itu, DAP secara terbuka merancang strategi politiknya untuk berkuasa dengan menarik kalangan Muslim yang jahil menyertainya. Sehinggakan, mereka meletakkan calon di kawasan majoriti Islam untuk menarik sokongan Melayu Islam kepada perjuangannya yang menentang Islam, walaupun DAP menerima kerjasama dengan parti yang lain, termasuk PAS.
Adapun PAS mengambil pendekatan damai dengan sesiapa sahaja, termasuk kalangan bukan Islam dengan tujuan memperkenalkan Islam tanpa berganjak daripada prinsip dan hukum-hukum yang nyata daripada al-Quran, Sunnah, Ijmak ulama’ dan Qiyas yang termaktub dalam Perlembagaan PAS.
PAS membuat keputusan berpisah daripada DAP (sama ada DAP membuat keputusan atau PAS sendiri membuat keputusan), berpandukan nas al-Quran yang nyata dan tidak berhajat kepada fatwa sesiapa pun daripada kalangan mufti dan sebagainya. Perkara nas yang nyata ini difahami oleh ahli-ahli biasa PAS, bukan sahaja ahli Majlis Syura Ulamak yang berilmu tinggi dalam membuat keputusan dan arahan.
Hanya mereka yang jahil agama atau mengejar kepentingan dunia sahaja yang boleh menelan perkara yang sangat salah mengikut ajaran Islam ini.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 25 Safar 1445 / 11 September 2023 – HARAKAHDAILY 11/9/2023