Perlis perlu 1,000 bilik tampung permintaan pengunjung

KANGAR: Perlis mempunyai kira-kira 1,600 bilik penginapan bagi menampung pelancong yang datang ke negeri itu menjelang Tahun Melawat Perlis 2024/2025 (TMP 2024/2025).

Advertisement

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, Perlis masih memerlukan sekurang-kurangnya 1,000 lagi bilik bagi menampung permintaan pengunjung yang semakin tinggi ke negeri itu.

“Bagi menampung permintaan pelancong kerajaan negeri bagi kelonggaran masa untuk pengusaha mengumpul dahulu modal.

“Kerajaan negeri sedia benarkan mereka menjalankan operasi sebelum menukar syarat tanah,” katanya selepas Majlis Pembukaan Country Road Homestay, di sini semalam.

Beliau juga berharap pemilik penginapan melaporkan kepada kerajaan negeri untuk membolehkan rumah penginap dipromosikan dengan bayaran tidak membebankan mereka.

Kerajaan negeri menyasarkan kehadiran seramai 2.8 juta pengunjung sempena TMP 2024/2025. Perlis menyajikan pelancongan berkonsep alam semulajadi.

Sementara itu Country Road Homestay di Kampung Pokok Asam, Simpang Empat, Arau kini menjadi salah satu lagi tarikan baharu di Perlis.

Inap desa berkonsepkan penginapan dalam kabin itu diusahakan Thow Hing Chuang, 53, di kawasan tanah bendang menawar pemandangan menarik berkonsep sawah.

Pengunjung dapat menikmati kecantikan matahari terbenam berlatar belakang sawah padi. Inap desa tersebut beroperasi sejak 1 Julai lepas. – HARAKAHDAILY 11/9/2023