KUALA LUMPUR: Penolakan usul bahas mengenai kes rasuah melibatkan Datuk Seri Zahid Hamidi untuk dibawa ke parlimen yang mendahului Yang di-Pertua Dewan Rakyat adalah suatu perkara luar tabii.
Ahli Parlimen Kota Bharu (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sidang parlimen pada hari ini (11 Sept) yang tidak mempunyai sesi soal jawab merupakan masa yang sesuai untuk membuat usul mengenai perkara tersebut yang sememangnya dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad sebelum perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Malangnya, bukan sekadar usul kami tidak mendapat persetujuan oleh Yang Berhormat Tan Sri Speaker (Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul) tetapi lagi mengejutkan kami ialah Perdana Menteri sendiri membuat kenyataan di luar dewan bahawa usul tersebut tidak boleh dibawa ke parlimen,” katanya.
Menurut beliau, tindakan tersebut jelas mendahului kuasa Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang sememangnya di luar jangkaan.
Tambah beliau, Johari bukan sahaja menolak usul tersebut yang dibawa oleh Wan Ahmad Fayhsal tetapi berjanji untuk membenarkannya untuk mengemukakan usul tersebut selepas perbahasan RMK12 kajian separuh penggal.
“Ini merupakan satu perkara yang luar tabii kerana tidak pernah perkara sebegini berlaku kerana usul ditolak tetapi yang buat usul akan dibenarkan membentangkan usul,” katanya dalam Sidang Media Pilihan, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Wan Ahmad Fayhsal; Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Shahidan Kassim; dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin.
Sehubungan itu, Takiyuddin berharap tindakan sebegini yang dilakukan oleh parlimen hari ini membuka mata rakyat negara ini untuk melihat pelbagai perkara yang pelik terjadi ketika pemerintahan kerajaan persekutuan pada masa ini.
“Kita harap rakyat Malaysia mengetahui inilah prosedur yang ada di dalam parlimen hari ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/9/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!