Beban rakyat, kos sara hidup naik tiada penghujung

Shahir Adnan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tekanan peningkatan kos sara hidup yang membebankan rakyat Malaysia merupakan masalah yang seakan-akan tidak berpenghujung.

Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata demikian, berikutan pada 1 September lalu, Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) telah mengumumkan pelarasan harga jualan beras putih import di pintu gudangnya telah dinaikkan di seluruh negara daripada RM2,350 per tan metrik kepada RM3,200 per tan metrik.

- Advertisement -

“BERNAS yang merupakan pengimport tunggal beras import itu berkata, pelarasan yang dibuat itu adalah selari dengan harga global semasa bagi ruji makanan terbabit.

“Jelas kenyataan itu lagi, peningkatan yang dirasai di peringkat global itu antara lain disumbangkan oleh faktor tidak dapat diramalkan seperti perubahan iklim, kadar pertukaran mata wang asing semakin lemah, kos operasi tinggi dan konflik serantau,” katanya.

Shahir menegaskan, kenaikan harga beras import dan ketiadaan beras tempatan di pasaran, terus menghimpit rakyat di negara ini. 

“Makanan ruji rakyat di Malaysia ialah nasi. Oleh hal yang demikian, isu tersebut dilihat terus menjadi masalah utama membelenggu masyarakat meskipun kerajaan memberikan jaminan bahawa ‘stok beras masih ada’. 

“Kita lihat, kekurangan bekalan beras tempatan terus meruncing. Kesannya, harga beras import turut meningkat akibat pasaran global. 

“Oleh yang demikian, dalam hal ini rakyat dalam kumpulan B40 yang paling terkesan,” jelasnya kepada HarakahDaily

Sehubungan itu, beliau turut mempersoalkan apakah tindakan yang seharusnya dilakukan oleh pihak kerajaan.

Berdasarkan tinjauan di beberapa buah pasar raya, harga jualan beras import membabitkan beberapa jenama telah merekodkan peningkatan sehingga mencecah 40 peratus berbanding sebelum ini. 

Katanya lagi, ada jenama beras import yang melonjak naik sehingga RM75 untuk 10 kilogram, maka mekanisme yang perlu dilaksanakan oleh pihak kerajaan pada masa ini perlu lebih realistik dan berkesan. 

Beliau yang juga merupakan Pengerusi IKATAN Negeri Kelantan turut menggesa agar  Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu untuk tidak menunggu hingga sebulan bagi melihat kepada keberkesanan memulihkan bekalan beras putih tempatan di seluruh negara. 

Katanya lagi, bagi pelan tindakan jangka pendek, kerajaan di negara ini perlu melaksanakan bantuan kewangan melalui baucar secepat mungkin kepada rakyat bagi pembelian beras. 

“Tindakan kedua adalah dengan menaikkan gaji minimum secepat mungkin. 

“Bagi pelan jangka masa panjang pula, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan seharusnya mewujudkan stok bekalan makanan ruji untuk beras tempatan melalui penggabungan negeri-negeri dan pengeluar-pengeluar beras utama di negara kita.

“Di samping itu, pihak kerajaan juga perlu berusaha memutuskan rantaian kartel beras dan orang tengah,” cadang beliau.

Dalam pada itu, Shahir turut menegaskan bahawa Malaysia telah pun mencapai kemerdekaan selama 66 tahun. 

“Situasi yang amat malang dengan tiadanya daya upaya dan kebolehan kita untuk mewujudkan stok simpanan beras tempatan, tanpa bergantung dengan beras import. 

“Oleh yang demikian, suatu anjakan perlu dilaksanakan oleh kementerian bertanggungjawab dalam usaha memerdekakan kebergantungan kita terhadap beras import,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/9/2023

- Advertisement -