KOTA BHARU: Terengganu muncul juara keseluruhan Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Menengah Agama Malaysia (KESSUMA) 2023 yang diadakan bagi kali ke-22 di peringkat kebangsaan, setelah berjaya membolot empat pingat emas dan satu perak.
Kelantan pula menduduki tempat kedua setelah berjaya merangkul tiga emas, dua perak dan dua gangsa, berbanding tahun lalu juara keseluruhan.
KESSUMA adalah program tahunan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Pendidikan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Pahang dan Universiti Islam Antarabangsa Kuantan Pahang.
Majlis perasmian penutup disempurnakan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri, Fadzli Mohd Kamal yang mewakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Turut hadir ialah Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK), Nik Hasanuddin Nik Hussain dan Penolong Pengarah YIK (Sekolah), Che Kamaruddin Kamel Che Muhammad.
Seramai 110 kontinjen dari Kelantan yang terdiri dari 26 jurulatih dan pengurus, manakala selebihnya pegawai dan urusetia yang membantu kejohanan sepanjang ia berlangsung.
KESSUMA tahun ini berlangsung selama lima hari, bermula 4 hingga 8 September bertempat di Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Islam Antarabangsa Kuantan Pahang (UIAKP).
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan NGO dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhshari Muhamad, mengucapkan tahniah kepada kontinjen Kelantan di atas kemenangan berkenaan.
Beliau turut berharap kontinjen negeri dapat mempertingkatkan lagi aksi pada masa akan datang.
“Tahniah kepada semua pihak termasuk pemain, guru-guru, pelatih, pengurus dan semua yang terlibat secara langsung atau tidak di atas kejayaan ini,” ujarnya.
Sementara itu pelajar tingkatan satu Imtiaz Setiu Terengganu, Muhammad Naufal Mazlan, 13, yang muncul sebagai peserta termuda KESSUMA 2023 menerusi ping pong berjaya mendapat johan dalam acara berkenaan menerusi berpasukan lelaki. – HARAKAHDAILY 10/9/2023