KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan berpuas hati berhubung penganjuran Karnival Jom Heboh (KJH) BABA’S yang berlangsung tiga hari di perkarangan RTC Tunjung di sini sejak Jumaat lepas.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Besar, Dato Dr Mohamed Fadzli Hassan merakam ucapan terima kasih dan merakamkan ucapan tahniah kepada pengurusan Media Prima Berhad (MPB) yang menganjurkan program tersebut mengikut peraturan ditetapkan kerajaan negeri.
Semalam beliau bersama Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Ibni Almarhum Sultan Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Diraja Sharifah Azwan Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail meninjau program berkenaan.
Hadir sama pada majlis itu, anggota-anggota Exco kerajaan negeri termasuk Mohd Asri Daud dan Wan Roslan Wan Hamat.
“Kita juga dapat lihat sambutan amat luar biasa dari rakyat Kelantan,” ujarnya ketika dihubungi.
Apa yang penting, menurutnya program berkenaan turut menggabungkan acara keagamaan seperti pertandingan laungan azan dan Forum Perdana.
“Terima kasih kepada MPB yang berjaya menganjurkan program mengikut peraturan ditetapkan kerajaan negeri,” katanya.
Turut hadir sama Pengerusi Kumpulan MPB, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Datuk Efendi Omar dan Pengarang Urusan Kumpulan New Straits Times Press Malaysia Berhad (NSTP) yang juga Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.
Pada kunjungan itu, Tengku Laksamana dan Dr Mohamed Fadzli serta tetamu dibawa melawat beberapa reruai termasuk reruai Dinoland dan BABA’S.
Dr Fadzli juga berkata, pihaknya mengalu-alukan mana-mana pihak termasuk MPB menganjurkan program seperti KJH di Kelantan pada masa akan datang.
Bagaimanapun, katanya penganjur perlu mengikuti peraturan khususnya berkaitan Enakmen Kawalan Hiburan.
“KJH melakukan pengasingan penonton dan lagu-lagu yang dipilih juga lebih kepada mendidik dan tidak mengundang kontroversi. Kita mengalu-alukan sekiranya KJH diteruskan pada tahun akan datang,” katanya.
Kelantan menjadi lokasi ketiga KJH sempena sambutan ulang tahun ke-20, ia diadakan di perkarangan RTC Tunjung selama tiga hari bermula Khamis hingga Sabtu.
Selebriti Dakwah, Da’i Azrin, Da’i Aiman, Kamal Affandi, Ustaz Tarmizi, Ustaz Fazrul dan Ustaz Khair antara yang diundang memeriahkan program KJH.
KJH dibawakan oleh BABA’S dan bermula seawal jam 9 pagi setiap hari dengan pelbagai pengisian serta hadiah dan aktiviti menarik. Pengunjung turut berpeluang bertemu barisan selebriti yang membintangi drama di TV3, TV9 dan Tonton.
Antara barisan artis yang hadir ialah Nabil Aqil, Raja Atiq, Wany Hasrita, Erma Fatimah, Datin Seri Umie Aida, Ashraf Muslim, Mekyun, Sir Asai, Izzue Islam, Mathni Razak, Asrulfaizal, Zaki Azeman, dan Aween Ismail. – HARAKAHDAILY 10/9/2023