Gempa bumi: PAS ucap takziah kepada Maghribi

KUALA LUMPUR: PAS merakamkan ucapan takziah buat Maghribi dan rakyatnya berikutan kejadian gempa bumi kuat yang berukuran 6.8 magnitud yang berlaku di beberapa wilayah dan bandar antaranya di Al Haouz dan Marakesh.

Advertisement

Menurut Pengerusi Lajnah Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, sehingga kini dilaporkan gempa bumi itu telah mengorbankan lebih kurang 2,012 mangsa dan menyebabkan 2,000 orang lagi telah mengalami kecederaan.

Katanya, ia adalah kejadian yang amat menyayat hati buat Maghribi dan rakyatnya yang mana pada ketika ini kerja-kerja mencari dan menyelamat sedang dijalankan oleh pasukan keselamatan dan penyelamat terutamanya di kawasan pendalaman berikutan dilaporkan terdapat banyak rumah yang runtuh terutamanya di kawasan berbukit.

Tambahnya, adalah menjadi harapan PAS agar tragedi tersebut tidak melemahkan atau membantutkan usaha Maghribi dan rakyatnya untuk terus muncul sebagai negara Islam yang memainkan peranan penting dalam mewujudkan keamanan dan kemakmuran di Dunia Islam mahupun dunia.

“Semoga Maghribi dan rakyatnya terus bersabar dan tabah dalam mengharungi tragedi yang amat menyayat hati ini seterusnya mampu bangkit menjadi lebih teguh dan kuat dalam mengharungi dugaan dan cabaran yang sedang berlaku ketika ini,” ujarnya yang juga ADUN Batu Buruk dalam satu kenyataan. – HARAKAHDAILY 10/9/2023