MyGAP: Bagaimana Terengganu stabilkan harga beras

- Advertisement -

BERAS MyGAP adalah beras berkualiti tinggi yang disahkan selamat secara saintifik terutama dari segi kualiti dan kandungan racun. Nak dapat persijilan MyGAP ada lebih 100 audit checklist yang perlu dilepasi. Hanya mereka yang komited, berdisiplin dan bersungguh akan berjaya. Terengganu adalah negeri yang mempunyai pesawah MyGAP paling ramai di Malaysia.

Sawah MyGAP sudah ada sebelum ini. Kami mengambil peranan untuk memperluaskan lagi keluasannya. Tapi beras MyGAP tak ada kerana rantaian pengeluarannya tak diuruskan sehingga final product. Bila tiba musim menuai, padi MyGAP dicampur dengan padi lain dan dikilangkan sekali dengan padi bukan MyGAP. Akhirnya semua jadi sama. Sayang sekali bila ada padi MyGAP tapi tak ada beras yang layak dipersijilkan dengan persijilan kualiti ini. Inilah fenomena yang berlaku di negeri-negeri lain.

Antara puncanya ialah kerana harga padi MyGAP sama saja dengan padi biasa. Jabatan Pertanian tidak ada hak nak arahkan pesawah MyGAP supaya hantar padi MyGAP ke kilang tertentu untuk diproses secara berpusat agar tidak bercampur dengan padi bukan MyGAP. Di Besut jelapang padi utama Terengganu ada 4 buah kilang padi. Brokar padi ada kilang pilihan mereka sendiri untuk dihantar padi. Biasanya kilang yang kadar potongannya lebih rendah akan jadi pilihan. Harga padi dan subsidi sama sahaja. 

Untuk itu, Kerajaan Negeri bersama TADC telah bincang dengan Konsortium Kilang Padi Lembaga Pertubuhan Peladang di Baruh Masin Jabi supaya mereka sediakan saluran proses khas untuk padi MyGAP. Perbincangan dengan beberapa terma dipersetujui dan dimuktamadkan. Kerajaan Negeri mengeluarkan peruntukan RM200,000 semusim untuk bayar insentif tambahan bernilai RM105/tan padi kasar bagi pesawah MyGAP yang bersedia hantar padi mereka ke Kilang LPP agar proses padi MyGAP ini diuruskan secara berpusat sehingga tak bercampur dengan padi bukan MyGAP. Alhamdulillah, sekitar 80 peratus dari pesawah yang ada sijil MyGAP setuju. 

Dengan erti kata lain, Kerajaan Negeri telah bantu bayar subsidi tambahan kepada padi MyGAP sehingga beras MyGAP yang berkualiti tinggi dan selamat dimakan akhirnya dijual dengan harga seperti beras biasa walaupun kualitinya berbeza.

Program Beras MyGAP Kerajaan Negeri ini juga telah membantu survival Kilang Padi LPP milik Persekutuan dalam persaingan untuk mendapatkan bekalan padi. Dengan adanya 4 buah kilang padi di Besut, persaingan untuk mendapatkan bekalan padi sebenarnya agak tinggi. Tambahan pula kilang milik swasta menawarkan kadar potongan yang lebih rendah. Dengan adanya program MyGAP ini, sekitar 500 ha padi MyGAP kita telah bantu untuk dihantar ke Kilang LPP. Pesawah yang hantar padi ke kilang lain tak akan dapat insentif Kerajaan Negeri RM105/tan padi kerana padi mereka tidak berjaya menghasilkan beras MyGAP.

TADC belum ada kilang padi. Kita hanya ada kilang pembungkusan beras buat masa ini. Di kilang inilah beras MyGAP dibungkus dan seterusnya diedarkan. Way forward kita ialah untuk TADC memiliki kilang proses benih padi dan kilang padi sendiri

Penghasilan beras MyGAP dengan jenama BERAS GANU bukan hanya cerita tukar plastik beras sebagaimana dakwaan liar yang disebarkan. Ia juga bukan cerita, proses padi di Kilang LPP milik Kerajaan Pusat tapi claim beras produk negeri. 

YB DR AZMAN IBRAHIM
Pengerusi
Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi Dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu – HARAKAHDAILY 8/9/2023 

- Advertisement -