Wartawan lapor kesan taufan dipenjara 20 tahun

Sai Zaw Thaike
- Advertisement -

BANGKOK: Mahkamah di Myanmar dilaporkan menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dengan kerja berat terhadap seorang wartawan foto sebuah agensi berita bawah tanah kerana membuat liputan mengenai kejadian taufan pada Mei lalu.

Hukuman terhadap Sai Zaw Thaike yang berkhidmat untuk perkhidmatan berita dalam talian bebas Myanmar Now, adalah yang paling berat bagi mana-mana wartawan yang ditahan sejak tentera menggulingkan kerajaan Aung San Suu Kyi yang dipilih oleh rakyat negara itu pada Februari 2021.

- Advertisement -

Kumpulan kebebasan akhbar Reporters Without Borders berkata pada April lalu, Myanmar adalah penjara kedua terbesar dunia bagi wartawan, di belakang China. Negara itu juga berada di kedudukan corot dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2023, iaitu ke-176 daripada 180 negara.

Myanmar Now yang beroperasi di bawah tanah, melaporkan bahawa tribunal tentera membicarakan, mensabitkan dan menjatuhkan hukuman terhadap Sai Zaw Thaike, 40, semasa perbicaraan mahkamah selepas ditahan di negeri barat Rakhine.

Prosiding itu berlaku di dalam penjara Insein di Yangon, bandar terbesar Myanmar, tempat jurugambar itu dipenjarakan selepas penahanannya. Agensi berita itu berkata, Sai Zaw Thaike tidak dibenarkan dilawati keluarganya dan mendapat bantuan guaman.

“Hukumannya adalah satu lagi petunjuk bahawa kebebasan akhbar telah dihapuskan sepenuhnya di bawah pemerintahan junta tentera, dan menunjukkan harga mahal yang harus dibayar oleh wartawan bebas di Myanmar untuk kerja profesional mereka,” laman berita itu memetik kenyataan Ketua Pengarang Myanmar Now, Swe Win.

Akhbar berita itu berkata, Sai Zaw Thaike ditangkap pada 23 Mei lalu di ibu kota Rakhine, Sittwe ketika mengambil gambar kerosakan akibat Taufan Mocha, ribut paling dahsyat di negara itu dalam tempoh sekurang-kurangnya satu dekad. Mocha melanda Sittwe lebih seminggu sebelum penahanannya serta menyebabkan banjir kilat meluas dan gangguan bekalan elektrik.

Ribut itu membunuh sekurang-kurangnya 148 orang di negeri Rakhine, kebanyakannya penduduk minoriti Muslim Rohingya yang teraniaya di kem pemindahan dalaman dan merosakkan lebih 186,000 bangunan.

Perkhidmatan berita itu menyatakan pada mulanya dia didakwa atas beberapa pertuduhan, termasuk undang-undang pengkhianatan. Tuduhan lain termasuk menghasut kerana didakwa menimbulkan ketakutan, menyebarkan berita palsu dan menentang kakitangan kerajaan atau tentera, yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun.

Dia juga didakwa menfitnah dalam talian yang boleh dihukum penjara tiga tahun dan melanggar undang-undang pengurusan bencana alam kerana didakwa menyebarkan maklumat palsu dengan niat untuk menyebabkan suasana panik kepada masyarakat, yang boleh dihukum penjara sehingga setahun.

Namun Myanmar Now tidak tahu pertuduhan yang dihadapi wartawan berkenaan semalam. Maklumat perbicaraan politik ditutup rapat oleh pihak berkuasa, manakala laporan Myanmar Now tidak dapat disahkan secara bebas.

Sabitan terhadap Sai Zaw Thaike adalah serangan terbaru terhadap kebebasan akhbar dan wartawan oleh kerajaan dikuasai tentera yang bertindak keras terhadap media bebas.

Sekurang-kurangnya 13 saluran media, termasuk Myanmar Now, dibatalkan lesen media dan sekurang-kurangnya 156 wartawan ditangkap, kira-kira 50 daripada mereka masih ditahan, menurut kumpulan pemantau tempatan Maklumat Wartawan Ditahan. Hampir separuh daripada mereka yang masih dalam tahanan telah disabitkan dan dijatuhkan hukuman. – AP

- Advertisement -