Gugur kes Zahid undang krisis kepercayaan terhadap institusi keadilan

Wan Rohimi Wan Daud
- Advertisement -

LUHAM mengikuti rapat perjalanan kes mahkamah YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri yang didakwa dengan 47 pertuduhan membabitkan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

- Advertisement -

Selepas meneliti 11 alasan yang diberikan oleh pasukan pendakwaan untuk menarik balik kes ini, LUHAM berpandangan bahawa alasan yang dikemukakan adalah tidak konsisten dengan fakta yang telah diterima oleh mahkamah, tidak kukuh dan bertujuan untuk mengelabui pandangan masyarakat awam.

Pertamanya, pihak pendakwaan telah merujuk kepada surat representasi yang menyentuh isu siasatan yang dikatakan telah dibuat secara terburu-buru, cuai, pramatang dan tidak lengkap.

Alasan ini adalah sangat lemah kerana bukti dan saksi yang telah dikemukakan oleh pihak pendakwaan telah diterima oleh mahkamah sehingga kes prima facie berjaya dibuktikan.

Jika siasatan kurang masak, dan Zahid didakwa tanpa bukti yang kukuh, sudah pasti mahkamah akan membuang kes ini sejak dari peringkat kes pendakwaan lagi.

Melihat kepada keseluruhan kronologi kes ini, LUHAM bimbang keputusan pihak pendakwaan untuk menarik balik kes ini selepas mahkamah memutuskan wujudnya kes prima facie akan mengundang krisis kepercayaan rakyat terhadap institusi keadilan, sekaligus mengesahkan persepsi negatif tentang “grand scheme of things” atau campur tangan politik yang disusun bagi membebaskan YAB Dato’ Seri Zahid Hamidi.

Hal ini susulan pengumuman persaraan bersama-sama cuti sebelum bersara dua individu yang mempunyai peranan penting dalam kes ini iaitu Datuk Raja Rozela Raja Toran, ketua pasukan pendakwaan bagi kes Zahid dan juga Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun di tengah-tengah perjalanan kes.

Tempoh waktu pasukan pendakwaan memohon untuk YAB Dato’ Seri Zahid Hamidi dilepaskan tanpa dibebaskan juga dibuat ketika peralihan jawatan antara peguam negara yang lama kepada peguam negara yang baru iaitu Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, di mana pelantikannya akan berkuat kuasa pada 6 September 2023.

Pihak pendakwaan dalam alasannya turut menyatakan bahawa isu siasatan yang dikatakan tidak lengkap itu akan menyebabkan reputasi dan nama baik AGC selaku pihak pendakwaan dan SPRM selaku badan penyiasat tercemar dan dilihat melalui kaca mata umum seolah-olah kedua-dua Jabatan ini merupakan institusi undang-undang yang telah diperalatkan oleh pihak-pihak tertentu.

Alasan ini tidak boleh diterima sama sekali memandangkan orang yang dituduh adalah seorang Timbalan Perdana Menteri.

Penarikan balik kes ini akan lebih menjejaskan reputasi institusi keadilan dan mengundang tohmahan campur tangan pihak tertentu.

LUHAM juga turut merasa jelik dengan alasan pihak pendakwaan yang bersandarkan kepada pengumuman Jemaah Menteri untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu-isu yang dibangkitkan dalam buku memoir bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas bertajuk ‘My Story: Justice In the Wilderness’.

Penubuhan RCI dan perjalanan kes ini adalah dua perkara yang berbeza, apatah lagi dalam keadaan belum kelihatan tanda-tanda RCI tersebut akan bermula dalam masa yang terdekat.

Siasatan RCI tidak sepatutnya dijadikan alasan dalam keadaan 47 kes Zahid sudah melepasi peringkat prima facie, dan Zahid Hamidi masih ada peluang untuk membela diri di hadapan mahkamah dengan menggunakan bukti-bukti baru yang dikemukan dalam surat representasi.

LUHAM kesal kerana penarikan balik kes ini menjejaskan kesemua 47 pertuduhan sekaligus menafikan kerja keras pasukan pendakwaan terdahulu yang telah mengemudi kes sehingga ke tahap ini.

Kes yang membabitkan sosok individu yang berjawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri ini pastinya akan mencemarkan imej dan nama baik Malaysia di peringkat antarabangsa.

Keresahan rakyat ketika Zahid Hamidi dilantik sebagai TPM suatu ketika dahulu telah terbukti kebenarannya.

Tindakan pihak pendakwaan menarik balik kes ini selepas kejayaan pembuktian prima facie, adalah satu sejarah hitam buat negara.

”Malaysia Sejahtera”

WAN ROHIMI WAN DAUD
Pengerusi,
Lujnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (LUHAM), PAS Pusat – HARAKAHDAILY 7/9/2023