Liga Perdana sokong dana bantuan kesihatan otak

Menanduk bola mendedahkan pemain bola sepak untuk mengalami demensia.

Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA) menubuhkan dana baharu untuk membantu bekas pemain yang terjejas akibat demensia dan keadaan neurodegeneratif lain yang akan disokong oleh Liga Perdana.

Individu yang menghidap demensia mempunyai masalah berkaitan memori. Mereka juga sukar untuk berfikir dan tidak mampu untuk menyelesaikan masalah.

Advertisement

Satu kajian yang ditugaskan oleh PFA dan Persatuan Bola Sepak (FA) mendapati bahawa bekas pemain bola sepak profesional adalah 3.46 kali lebih berkemungkinan mempunyai penyakit neurodegeneratif dan lebih berisiko untuk didiagnosis dengan demensia.

FA berusaha untuk mengurangkan risiko kesihatan dan demensia dan tahun lepas memberikan kelulusan menjalankan percubaan untuk menghapuskan menanduk bola yang disengajakan dalam perlawanan peringkat Bawah 12 tahun. Kini, akan ada bantuan kewangan kepada mereka yang terjejas.

“Jumlah awal sebanyak satu juta Pound akan disediakan serta-merta untuk menyediakan sokongan kewangan mengikut budi bicara kepada bekas pemain dan keluarga mereka untuk membantu meningkatkan kualiti hidup mereka,” menurut Liga Perdana di laman web persatuan itu, semalam.

“Dana itu akan disediakan ketika PFA dan Liga Perdana berusaha untuk menubuhkan badan amal yang melibatkan pihak berkepentingan bola sepak lain sebagai wadah sokongan jangka panjang.”

Mereka yang memohon sokongan kewangan akan dinilai oleh panel yang terdiri daripada pakar dalam neurologi, kejururawatan dan penjagaan sosial.

“Kebajikan dan penjagaan pemain sentiasa menjadi keutamaan Liga Perdana. Kami merasakan penting untuk menawarkan sokongan kepada dana kesihatan otak yang baru ditubuhkan ini,” kata Ketua Eksekutif Liga Perdana, Richard Masters.

“Ini adalah langkah penting ke hadapan dalam cara bola sepak memberikan sokongan praktikal kepada bekas pemain yang mengalami demensia dan keadaan neurodegeneratif lain,” kata Ketua Eksekutif PFA, Maheta Molango.

“Masih banyak yang perlu dilakukan, tetapi ini adalah perkembangan positif yang akan memberikan bantuan kepada bekas pemain dan keluarga mereka, selain menunjukkan bagaimana bola sepak perlu bekerjasama dalam isu ini,” kata Molango. – REUTERS