Ekonomi Madani, kerangka IMF/World Bank

HAMPIR sebulan selepas Debat Ekonomi, hari ini barulah YB Rafizi Ramli cuba menjawab persoalan saya tentang ‘acuan’ model Ekonomi Madani.

Advertisement

Untuk rekod, saya tidak pernah menyebut Ekonomi Madani meniru acuan IMF/World Bank, cuma saya sebut, “banyak yang sama”.

Saya ulang, “banyak yang sama”.

Untuk rekod, bukan PAS/PERIKATAN NASIONAL sahaja yang menyebut perkara ini. Pakar ekonomi, Profesor Barjoyai Bardai dipetik berkata: “Kerangka Ekonomi Madani yang diperkenalkan pentadbiran Perdana Menteri, bukan model baharu, kerana ia dibuat berdasarkan model IMF dan Bank Dunia”. (9 Ogos)

Malah untuk rekod, Ahli Parlimen Pasir Gudang turut menyuarakan kebimbangan beliau terhadap strategi pelaburan Ekonomi Madani.

“Saya berasa bimbang dengan pengumuman Pelan Induk Perindustrian Baharu yang dilancarkan oleh Perdana Menteri.

“Ini kerana pendekatan strategi pelaburan secara liberal itu saya anggap bukannya progresif tetapi regresif atau undur ke belakang”, ujar Ahli Parlimen PKR tersebut. (1 September)

Apapun tahniah YB Rafizi Ramli di atas kesungguhan beliau mempertahankan model baharu Ekonomi Madani, yang pada hakikatnya ‘tiada yang baharu’, bak kata seorang Profesor Ekonomi.

Malah saya tersenyum melihat bagaimana YB Rafizi Ramli sedaya upaya mencuba untuk ‘spin’ tentang perkara ini dalam video berdurasi 10 minit beliau.

Untuk makluman YB Rafizi Ramli, kami bercakap tentang kerangka dasar dan pendekatan polisi (economic measures) model baharu ekonomi, tetapi YB terpusing-pusing menyebut tentang indikator (economic indicators), kayu ukur ‘kesihatan’ ekonomi negara.

Dengan penuh hormat saya cadangkan, YB Rafizi Ramli semaklah dahulu teks video YB dengan intern-intern di EPU & MOF, yang pastinya tahu untuk membezakan apakah yang dimaksudkan dengan Economic Measures, dan apakah yang dimaksudkan dengan Economic Indicators.

Perbezaannya sangat jelas, dan sangat mudah, umpama formula “47-47=0”.

Justeru saya tidak berhasrat untuk menjawab video YB Rafizi Ramli ini kerana ‘tiada yang baharu’, dan beliau ‘tidak menjawab soalan’ dalam video yang lewat sebulan ini.

Insya-Allah saya akan mengulas tentang model Ekonomi Madani dalam perbahasan RMK-12 di Parlimen minggu hadapan, dan Belanjawan 2024 bulan hadapan.

Kita berbahas secara berdepan, secara ‘gentleman’, insya-Allah.

Salam 47-0.

Salam Ekonomi Madani.

SYAHIR SULAIMAN
Ahli Parlimen Bachok – HARAKAHDAILY 7/9/2023