Calon PN ‘bermandi peluh’ demi kesejahteraan rakyat

- Advertisement -

MUAR: Belum pun bergelar Yang Berhormat (YB), namun calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Dr Mazri Yahya bermandi peluh bergotong royong bersama penduduk.

Selepas menunaikan solat subuh berjamaah di Surau Al Hadi Kampung Batu 6 Bakri, pagi semalam beliau bersama penduduk bergotong royong membersihkan aliran air tersumbat di Lorong Rahmat, Kampung Simpang Jeram.

- Advertisement -

Katanya, aktiviti itu dilakukan selepas menerima aduan daripada seorang penduduk mengenai masalah tersebut baru-baru ini.

“Kami sepakat sama-sama menggali parit untuk membina alur bagi membolehkan air yang bertakung mengalir. Air bertakung dalam parit disebabkan hujan lebat sehingga beberapa beberapa rumah penduduk dilanda banjir kilat,” katanya di sini.

Dr Mazri melahirkan rasa lega dan puas hati selepas dapat membantu penduduk kampung menyelesaikan masalah mereka.

Katanya, langkah itu sejajar dengan misinya untuk melahirkan warga Simpang Jeram prihatin dalam masyarakat majmuk.

Sementara itu ketika aktiviti ziarah malam semalam, beliau melawat kilang pemprosesan tauhu yang diusahakan Haji Naim.

Kilang yang beroperasi sejak 25 tahun lalu sekarang menghasilkan 5,000 keping tauhu sehari untuk pasaran sekitar Muar.

Pada lawatan itu, rombongan calon PN melihat dari dekat tauhu dihasilkan daripada kacang soya menggunakan teknologi moden.

Dr Mazri berkata, pengusaha berkenaan turut berkongsi dan bertukar pendapat cara untuk menarik minat anak muda terlibat dalam industri berkenaan.

“InsyaAllah kami akan usahakan untuk mencari solusi terbaik bagi melahirkan lebih ramai lagi usahawan Melayu di Simpang Jeram,” ujarnya.

Beliau turut melawat Kilang Perabot Coach Bahar milik seorang usahawan yang berjaya. Coach Bahar juga merupakan seorang penceramah motivasi yang popular di Muar.

Menurutnya, banyak perkara yang dikongsi di samping bertukar pendapat mengenai cara meningkatkan peluang pendapatan penduduk tempatan. – HARAKAHDAILY 7/9/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!