Beras Gantang Baghdad Kelantan RM7.50 bagi 2.7 kg

- Advertisement -

KOTA BHARU: Selain Beras Ganu yang diperkenalkan kerajaan Terengganu, Kelantan memasarkan beras Gantang Baghdad berharga RM7.50 bagi 2.7 kilogram.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, kerajaan negeri melalui Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) memperkenalkan beras tersebut sejak beberapa tahun lepas.

- Advertisement -

Katanya, bekalan beras di Kelantan sehingga sekarang masih mencukupi.

“Malah kerajaan negeri meneruskan Skim al It’aam atau pemberian beras percuma kepada 300 penerima golongan asnaf bagi setiap DUN Kelantan.

“Setakat ini ia tidak terjejas walaupun ada kenaikan harga beras, kita masih mengekalkan kualiti beras yang diberi kepada rakyat, ia lebih baik daripada super special tempatan.

“Kita juga meninjau bekalan padi dan setakat ini tidak merosot. Sehingga Jun lalu pengeluaran beras di Kelantan 124 peratus daripada tahap sara diri (SSL) berdasar maklumat Pusat Kawalselia Padi dan Beras Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Taklimat mengenai Skim al It’aam di Bilik Gerakan Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komiditi, Dato’ Shaari Mat Hussain; Pengurus Besar KPKB, Mohd Mukhlis Mukhtar dan wakil-wakil rakyat.

Tuan Mohd Saripudin juga berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM6.3 juta bagi melaksanakan skim al It’aam tahun ini berbanding RM6 juta tahun lepas walaupun harga beras di pasaran tempatan sentiasa berubah.

Menurutnya, kerajaan negeri mementingkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat untuk memastikan setiap keperluan termasuk makanan sentiasa mencukupi.

“Kita tetap teruskan seperti biasa program berkenaan. Tonggak kebajikan sebahagian agenda kerajaan negeri sejak tahun 1990,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/9/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!