Pulai dan Simpang Jeram membuat keputusan

- Advertisement -

PARA pengundi di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, Johor akan keluar mengundi pada hari Sabtu 9 September ini dalam Pilihan Raya Kecil bagi kedua-dua kawasan berkenaan. Kedudukan demografi pengundi di kedua-dua kawasan ini ternyata memberikan kelebihan pada Pakatan Harapan oleh kerana peratusan pengundi bukan Melayunya yang agak besar.

Di Pulai jumlah pengundi Melayu hanyalah 48 peratus manakala di Simpang Jeram 53.2 peratus. Kerana itu para penganalisa terutama yang pro PH ghairah meramalkan yang PH akan menyapu bersih kedua-dua kerusi Parlimen dan DUN ini.

Dalam PRU Parlimen November 2022 lalu serta PRN enam negeri baru-baru ini, PH mampu menang di kawasan-kawasan seumpama ini lantaran sokongan kuat dari para pengundi bukan-Melayu khasnya pengundi Cina.

Ada pula yang menjangkakan perpindahan sokongan pengundi atau ‘voter transferability’ dari penyokong BN ke calon PH akan memudahkan PH mencapai kemenangan.

Benar atas kertas begitulah keadaannya, namun demikian proses pengundian dalam negara kita tidak sesungguhnya dipengaruhi oleh apa yang berlaku di atas kertas semata-mata. Banyak faktor lain yang perlu diambil kira apabila meneliti kecenderungan para pengundi dan kita telah lihat ini berlaku dalam banyak pilihan raya termasuklah yang terbaru PRN enam negeri baru-baru ini.

Dari pengalaman yang lepas-lepas rakyat selain meneliti calon-calon dan parti yang bertanding, sentimen mereka juga banyak dipengaruhi oleh perkembangan politik yang berlaku sekeliling mereka.

Jika jentera PH bersedap-sedap dengan penguasaan pengundi bukan-Melayu yang diyakini bersama mereka selain kononnya undi BN yang akan menyebelahi mereka, mereka mungkin menghadapi kekecewaan.

Pengundi Melayu yang tidaklah berapa besar peratusannya itu, jangan sesekali dipandang ringan dan mudah, kerana berbanding pengundi kaum lain kebelakangan ini para pengundi Melayu Islamlah yang menunjukkan trend kecenderungan lebih matang serta berani dalam membuat keputusan.

Mereka tidak mudah boleh dipengaruhi dengan politik adu-domba atau ancam-mengancam, sebaliknya mereka bijak meletakkan nasib dan masa depan mereka di hadapan dalam membuat penentuan. Ini dibuktikan terutamanya di negeri-negeri majoriti Melayu iaitu di Kelantan, Terengganu dan Kedah baru-baru ini sehingga PH-BN hampir lenyap ditolak.

Kiranya trend yang sama berlaku di Pulai dan Simpang Jeram, iaitu orang Melayu berani bangkit mengundi untuk membawa perubahan, maka PH berjaga-jagalah.

Perkembangan politik Melayu Islam dalam negara hari ini menjadi perhatian ramai khasnya umat Melayu yang begitu prihatin dari hal masa depan politik mereka. Keprihatinan ini merata tidak kira di kalangan yang tua mahupun muda.

Umno satu ketika dahulu merupakan parti besar yang mewakili suara umat Melayu Islam di tanah air. Umno mendominasi kebanyakan kerusi-kerusi Parlimen dan DUN Melayu, kemuncaknya PRU 2004 apabila ia membolot 109 kerusi Parlimen yang dipertandingkan. Ketika itu dan sebelumnya, suka tidak suka, Umnolah payung politik buat umat Melayu.

Tetapi hari ini semuanya telah berubah, di bawah Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bukan sahaja rakyat Malaysia kebanyakan memandang serong padanya, malah ahli-ahli dan penyokong Umno juga mula curiga akan kemampuan parti yang satu ketika dianggap ‘keramat’ itu.

Dalam PRU ke-15 baru-baru ini dari 109 kerusi 18 tahun dahulu, hari ini bawah Zahid Umno cuma tinggal 26 kerusi Parlimen dan corot belaka di kebanyakan negeri Melayu lain.

Hari ini bukan Umno tetapi PN yang menjadi payung baru umat Melayu Islam. Dan mutakhir ini beberapa isu prinsip berhubung kedudukan politik Melayu Islam, kelihatan tidak mampu lagi dipertahankan oleh Umno kemungkinan besar lantaran mengecilnya penguasaan politik mereka itu.

Umno yang hari ini berkawan dengan PH yang didominasi DAP, kelihatan lemah dan gagal apabila berhadapan dengan tuntuan dan perjuangan DAP. Parti rasis yang ekstrem itu, satu ketika dahulu di bawah telapak kaki Umno sahaja walau bagaimanapun hari ini ia seumpama kaduk yang telah naik junjung ia menguasai politik parti pemerintah dengan Umno sekadar penumpang yang tiada suara.

Tuntutan ‘Malaysia Malaysia’ yang digagaskan oleh mendiang Lee Kuan Yew dari parti PAP satu ketika dahulu hari ini diwarisi DAP dan terus menjadi tuntutan mereka memandangkan mereka kini punya dominasi politik di Putrajaya. Tuntutan yang mahu menidakkan kontrak sosial yang dicapai menjelang kemerdekaan negara itu dengan menyamaratakan semua kaum dan agama dihidupkan kembali DAP dengan Presiden Umno menikus menghadapinya.

Demikian juga perjuangan mengembalikan Perlembagaan Persekutuan ke bentuk sekular sebagaimana terkandung dalam Perlembagaan parti DAP, juga tidak menghadapi sebarang reaksi dari Presiden Umno. Walaupun akar-umbi dan pimpinan tertentu dalam Umno mula bersuara lantaran kebimbangan ancaman tuntutan dan perjuangan ini terhadap masa depan ummah, Zahid sekadar menyapu ke bawah tikar segala kebimbangan itu.

Dalam satu penulisan di jurnal yang diterbitkan Universiti Malaya bawah tajuk “Gagasan Malaysian Malaysia Wawasan PAP – Kesinambungan dan penentangan orang Melayu 1964-69 dilaporkan: “According to the joint declaration issued by the political parties, a “Malaysian Malaysia” meant that all citizens of Malaysia were equal and that the nation and state was “not defined with the supremacy, well-being and the interests of any one particular community or race”.(Mengikut deklarasi bersama yang dikeluarkan parti-parti politik (termasuk PAP ketika itu)(dinyatakan), sebuah Malaysian Malaysia bermaksud semua warga Malaysia adalah sama taraf dan negara tidak lagi ditakrifkan berdasarkan hak keistimewaan dan kepentingan mana-mana satu komuniti atau kaum”).

DAP mahu terus pertahankan tuntutan itu dan anehnya Zahid tidak merasakan ia satu ancaman.

Demikian juga menobatkan sekularisama iaitu fahaman pemisahan antara agama dan pentadbiran, sesungguhnya adalah satu ancaman yang perlu diberi perhatian oleh umat Melayu Islam lebih-lebih lagi dengan DAP sebagai parti paling dominan dalam Kerajaan hari ini.

Perkembangan ini hangat dibicarakan di media sosial dan adalah diyakini turut didedahkan kepada para pengundi di Pulai dan Simpang Jeram yang akan keluar mengundi Sabtu ini. Jika kita mahu memperkasakan kuasa politik ummah, mengembalikan maruah agama dan bangsa, inilah saat dan ketikanya untuk kita bertindak.

Bersatulah umat Melayu tidak kira parti. Pulai dan Simpang Jeram tidak perlukan suara pejuangan ‘Malaysian Malaysia’ atau sekularisma.

Apa yang diperlukan adalah wakil yang berani dan matang, sanggup membela dan mempertahankan kepentingan agama, bangsa dan tanah air. Pilihan anda adalah calon-calon PERIKATAN NASIONAL.

Ayuh berani bangkit bersama gelombang kebangkitan ummah. Undi Melayu undi keramat.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR
Setiausaha
PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 6/9/2023

- Advertisement -