Cerita wartawan dan ahli politik

SAYA meneliti perkembangan berkenaan sedikit salah faham antara wartawan dan Exco Kerajaan Terengganu, Dr Azman Ibrahim yang akhirnya saya lihat sudah sedikit tersasar dari perbahasan sebenar. Sebagai rakan kepada media, saya menghormati tugasan yang mereka lakukan, berusaha keras bagi memastikan rakyat menerima info terbaik, terkini dan paling tepat. Ia akan dapat menaikkan imej akhbar dan juga kerajaan di mata rakyat. Saya juga menjadi rakan kepada YB Exco, lama sebelum beliau bergelar YB lagi. Waktu itu kami bersama membina Kelab Aktivis Media Aspirasi, sebuah NGO media di Terengganu. Oleh itu YB Dr Azman adalah Exco yang amat memahami bagaimana media berfungsi.

Kita tinggalkan sekejap salah faham ini. Saya ingin membawa pembaca ke era di mana media dijadikan sebagai tunggangan kepada ahli politik. Di zaman itu, berkemungkinan ramai wartawan sekarang sama ada masih menuntut ataupun belum bersekolah. Jangan-jangan ada yang masih belum lahir, entahlah. Di zaman itu, media adalah alat propaganda utama ahli politik bagi menentang musuh mereka. Musuh itu bukan sahaja dari kalangan berlainan parti, akan tetapi perang sesama sendiri juga.

PAS adalah parti politik yang paling lama dan tidak keterlaluan jika saya katakan sehingga kini, masih menjadi mangsa kepada pemberitaan yang berat sebelah. Berbagai cara bagi memperendahkan PAS oleh sebahagian wartawan yang mereka gunakan. Kalau dahulu, Utusan Malaysia dengan Wak Cantuk, Zainuddin Maidin (Zam), Johan Jaafar, Ku Seman Ku Hussin, Shahbudin Husin. Sementara di sebelah News Strait Times pula A. Samad Ismail, A. Kadir Jasin mengetuai pasukan propaganda BN bagi memburukkan imej PAS, disokong oleh Manja Ismail, Hishamuddin Aun. Mereka ini berada pada zaman 80-an dan 90-an. Sehingga pernah terjadi perbalahan besar antara Wak Cantuk dengan pengarang di Harakah zaman itu.

Media terus menjalankan peranan mereka apabila PAS menang menyapu bersih semua kerusi di Kelantan tahun itu. Dalam masa beberapa bulan, serangan yang begitu hebat dikenakan ke atas Kelantan dan juga Sabah. Sehingga mereka seolah-olah berikrar akan menjatuhkan Kelantan dalam masa tiga bulan. Namun janji mereka yang Kelantan akan tumbang dalam masa tiga bulan selepas memerintah, gagal mereka buktikan. Bahkan Kelantan pula semakin gagah mengharungi badai tekanan media ini.

Cerita-cerita mengenai rakyat Kelantan miskin, tidur di kandang kambing, reban ayam, tidak cukup makanan, gagal membayar gaji adalah ulikan biasa media arus perdana kepada rakyat Malaysia waktu itu. Sehinggakan ada rakyat negeri lain yang membawa bekal beras kerana takut tiada makanan bila berada di sana. Sebaliknya mereka dapati beras lebih murah harganya di sana.

Setelah dua penggal, mereka gagal menjatuhkan Kelantan, Terengganu pula menjadi mangsa selepas menang dalam PRU-10 tahun 1999. Apa yang media tidak kata kepada Terengganu waktu itu? Berbagai persepsi yang mereka berikan agar Terengganu kelihatan kolot, miskin, ketinggalan kerana memilih PAS. Mereka berjaya di Terengganu kerana usaha mereka amat kuat merampas kembali disebabkan hasil petroleum di situ yang terlalu besar. Tahun 2008, Selangor, Kedah, Perak dan Pulau Pinang pula menjadi sasaran. Tetapi semakin lama, mereka semakin gagal menggunakan teknik lama ini. Akhirnya salah sebuah akhbar milik Umno, Utusan Malaysia ditutup kerana rugi.

Kini pada era yang sangat profesional, masih adakah lagi media yang berperanan sebegini? Saya yakin media sudah dan perlu berubah jika pun tidak banyak, untuk terus bersaing, apatah lagi media alternatif terlalu banyak sekarang ini. PAS pernah bersama dengan semua parti politik. Dan PAS adalah parti yang terbaik menangani kerenah media walaupun terlalu banyak fitnah atau cerita kelabu yang diberitakan media. PAS amat memahami maksud ‘read between the line’ ‘kenyataan separuh masak’ dan seumpamanya. Saya tidak mahu mencampur niat isi kandungan berita, wartawan mungkin mempunyai cerita mereka dan YB Dr Azman pastilah ada perkara penting yang mahu dipertahankan.

Akan tetapi suka saya menasihatkan seharusnya salah faham ini diselesaikan dengan cara terbaik iaitu berbincang. Saya agak terkejut dan kesal apabila Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) digunakan mengugut Exco untuk tidak menyiarkan lagi berita di media perdana. Dengan bahasa yang agak keras, ia seharusnya tidak dikeluarkan oleh persatuan yang mengaku sebagai profesional. Sedangkan PAS sebagaimana yang saya sebutkan, telah lama difitnah dan dipermainkan dalam laporan berita mereka, namun belum pernah pimpinan PAS mengugut wartawan. Dan satu persoalan yang bermain di benak ini, adakah semua wartawan menghadapi masalah dengan Exco atau seorang dua sahaja, lalu digunakan nama kelab bagi membuat isu ini lebih sensasi? Harapnya isu ini tiada kena mengena dengan pelepasan tanpa bebas Zahid Hamidi semalam.

Come on lah, matanglah dalam bertindak, takkanlah wartawan yang tulis, orang kritik, wartawan yang nak marah dan ugut? Atau, buatlah satu forum sebagaimana cadangan YB Dr Azman dan jemput beliau sebagai ahli panel. Dalam forum itu, selain dapat menjernihkan suasana, rakyat juga akan mendapat info langsung dari YB dan juga penyelidikan dari universiti.

MOHD NASIR ABDULLAH
6 September 2023 – HARAKAHDAILY 6/9/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

Advertisement