22 tahun peristiwa 9/11: Siapa sebenarnya pengganas?

- Advertisement -

BEBERAPA hari lagi Amerika Syarikat akan memperingati 22 tahun peristiwa hitam 9/11 yang berlaku pada 11 September 2001. George W. Bush, bekas Presiden Amerika Syarikat mendakwa Osama bin Laden dan kumpulan Al-Qaeda yang diketuainya bertanggungjawab ke atas peristiwa tersebut dengan melancarkan serangan keganasan ke atas Amerika Syarikat.

- Advertisement -

Amerika Syarikat tidak mengambil masa yang lama untuk bertindak kerana sebulan selepas kejadian peristiwa 9/11, perang ke atas Afghanistan dilancarkan yang menjadi tempat persembunyian Osama Bin Laden dan kumpulan Al Qaeda dengan perlindungan Taliban yang memerintah Afghanistan ketika ini termasuk menyasarkan serangan terhadap kumpulan-kumpulan jihadis dan negara-negara yang menyokongnya.

Akhirnya ibu kota Afghanistan iaitu Kabul jatuh ke tangan Amerika Syarikat dengan begitu mudah sekali berikutan limitasi kekuatan tentera  yang ada pada Taliban ketika itu yang memerintah di negara antara yang paling miskin dan terkebelakang di dunia berbanding dengan kekuatan Amerika Syarikat yang merupakan negara yang terkuat di dunia dari sudut ketenteraan, ekonomi dan teknologi.

Namun begitu Taliban terus menghantui Amerika Syarikat walaupun Osama bin Laden telah dibunuh dan kumpulan Al-Qaeda dihancurkan. Ia menjadi perang yang paling lama dalam sejarah Amerika Syartikat dan akhirnya dua tahun lalu Amerika Syarikat secara rasminya berundur dari bumi Afghanistan yang disifatkan sebagai kekalahan paling memalukan dalam sejarah ketenteraan modennya.

Setelah itu, Iraq pula diserang dengan alasan kononnya Osama bin Laden mempunyai hubungan dengan Saddam Hussein yang mampu menimbulkan ancaman terhadap keselamatan Amerika Syarikat di mana akhirnya ia terbukti bahawa dakwaan tersebut adalah salah dan pembohongan besar  Amerika Syarikat ke atas dunia.

Namun apakan daya, ‘arang sudah menjadi abu’. Iraq dilanyak sehingga ranap dalam kempen serangan yang bermula pada 21 Mac 2003 atas nama perang menentang keganasan sehingga mengorbankan ratusan ribu nyawa yang tidak berdosa dan sehingga ke hari ini, Iraq masih lagi bergelut dengan konflik berdarah yang tidak berkesudahan.

Apa yang lebih penting ialah landskap politik dunia telah berubah. Perang menentang keganasan kemudiannya bertukar menjadi perang menentang Islam dek kerana Osama bin Laden seorang Muslim. Adakah ia berlaku dengan sengaja atau tidak, masing-masing mempunyai jawapannya tersendiri. Apa yang pasti selepas itu telah berkembangnya kebencian terhadap Islam sedikit demi sedikit sehingga lahirnya fenomena Islamofobia yang melanda masyarakat dunia saat ini.

Islam dituduh menjadi punca kepada keganasan. Ini terbukti daripada respons pemimpin-pemimpin Barat sama ada dari kelompok ahli politik mahupun ahli agama dan juga dari kelompok-kelompok lain yang berpengaruh dalam masyarakat yang menyerang Islam bertubi-tubi. Antaranya kenyataan Pope Benedict ke 16 yang menuduh Nabi Muhammad SAW menyebar agama Islam dengan pedang.

Begitu juga karikutur-karikutur Barat yang menghina Nabi Muhammad SAW dengan menggambarkan baginda sebagai seorang penganas. Ditambah lagi dengan kenyataan-kenyataan dari pemimpin-pemimpin politik Barat yang bersikap prejudis terhadap Islam seperti Donald Trump, Tony Blair, Emmanuel Macron dan lain-lain lagi yang berterusan mengaitkan keganasan dengan Islam.

Fenomena ini bukan sahaja berlaku di negara-negara Barat yang kononnya menjadi mangsa kepada pengganas-pengganas yang anti kepada kebebasan dan demokrasi bahkan ianya merebak ke seluruh pelosok dunia termasuk di Dunia Islam sendiri.

Maka di atas slogan perang menentang keganasan, rejim zionis Israel menjadikannya sebagai alasan untuk menghapuskan kumpulan-kumpulan Islam seperti HAMAS, Jihad Islami dan Hizbullah. Begitu juga negara-negara Arab yang diperintah secara diktator mengambil peluang ini untuk mengharam dan menghapuskan kumpulan-kumpulan Islam sederhana yang mengambil pendekatan demokrasi pilihan raya seperti gerakan Ikhwan Muslimin Mesir.

Bahkan lebih dari itu lagi ia menjangkaui tindakan-tindakan oleh sesetengah negara-negara Dunia Islam yang tidak membenarkan ayat-ayat Al-Quran yang berkait dengan peperangan dan kejahatan Yahudi diajar kepada pelajar-pelajar dengan alasan ia boleh merosak pemikiran mereka dan menggalakkan mereka untuk menjadi pengganas.

Akibat dari kempen jahat ini, ratusan ribu nyawa umat Islam yang tidak ada apa-apa kaitan dengan peristiwa 9/11 terkorban, cedera, dipenjara dan hilang tempat berteduh. Akibat dari kempen jahat ini juga negara-negara yang menyokong keganasan bermaharajalela melakukan keganasan di atas alasan menentang keganasan.

Persoalannya, adakah umat Islam sahaja yang dilabel sebagai pengganas? Bagaimana pula pengganas dari kalangan penganut agama Yahudi, Kristian, Hindu, Budha dan lain-lain lagi yang melakukan keganasan ke atas umat Islam? Adakah pertubuhan-pertubuhan kecil sahaja yang dilabel sebagai pengganas sedangkan negara-negara yang melakukan keganasan dan menyokong keganasan dibiarkan bebas bermaharajalela seperti negara haram Israel.

Dunia Barat sentiasa mengajak masyarakat antarabangsa mengenang dan mengecam tindakan ganas Nazi dan Adolf Hitler terhadap bangsa Yahudi di Jerman yang digelar Holocaust. Pembunuhan ratusan ribu bangsa Yahudi oleh Nazi dan Hitler digambarkan sebagai Massacre of The Century yang akhirnya Presiden German Frank Walter Steinmeier memohon maaf di atas kekejaman tersebut.

Namun berbeza dengan Palestin, Dunia Barat menyokong tindakan dan kekejaman zionis Israel, menghalau, merogol dan membunuh rakyat Palestin yang jumlahnya mencecah angka yang tidak mampu dihitung. Ketika perang dunia pertama dan kedua, bangsa Yahudi ditindas dan dizalimi, majoritinya di Eropah. Mereka lari meninggalkan Eropah dan menjadikan Palestin sebagai destinasi utama dengan alasan ia adalah bumi nenek moyang bangsa Yahudi.

Apabila rakyat Palestin bangkit menentang penjajahan dan kezaliman zionis Israel, mereka dilabel sebagai pengganas. Tindakan zionis Israel membunuh rakyat Palestin dianggap mempertahankan diri dan sebenarnya bumi Palestin milik siapa? Seharusnya Dunia Barat patut sedar, zionis Israel adalah penjajah dan Palestin adalah milik penduduk Palestin.

Dunia Barat adalah punca dan penyebab utama lahirnya keganasan. Lalu setelah umat Islam bangkit menentang, mereka dilabel sebagai pengganas. Dunia Barat-lah pengganas utama sebenarnya, mereka mengganas kerana mahu menakluk, menjajah, memeras dan mengaut hasil bumi Dunia Islam.

Dunia Barat sebenarnya tidak pernah berubah sejak dari dahulu lagi bermula dengan Kerajaan Rom dan Byzantine, mereka menjajah, merompak hasil bumi penduduk dan negara yang dijajah, menindas, menzalimi serta membunuh.

Sebagai contoh Malaysia yang sebelum ini dikenali sebagai Tanah Melayu pernah dijajah oleh Dunia Barat dari Portugis, Belanda dan Inggeris. Motif penjajahan mereka ialah memonopoli hasil bumi seperti rempah ratus dan bijih timah selain menyebarkan agama Kristian. Kita bernasib baik kerana berjaya berunding untuk memperolehi kemerdekaan namun bukan semua Dunia Islam bernasib baik seperti kita.

Namun kita jangan lupa, di Dunia Barat juga terdapat banyak kumpulan pengganas yang merbahaya seperti Klu Klax Klan (KKK), Neo Fascist dan Neo Nazi yang bertebaran di Eropah dan Amerika Utara. Kumpulan-kumpulan ini adalah kumpulan ekstremis kulit putih yang berfahaman melampau serta disifatkan merbahaya oleh agensi perisikan dan keselamatan dunia.

Untuk tahun 2019, FBI telah melaporkan bahawa kumpulan ekstremis kulit putih adalah kumpulan paling banyak mencetuskan keganasan di Amerika Syarikat. Mereka bukan sahaja memusuhi umat Islam malah turut memusuhi agama, kaum dan bangsa lain di serata dunia. Lihat sahaja kumpulan fasis, Neo Nazi dan ekstrimis kulit putih yang terdapat di Eropah saat ini yang menyerang umat Islam termasuk merosakkan masjid dan membakar naskah suci Al Quran seperti di Sweden dan Denmark.

Mereka bukan sahaja tidak dilabel sebagai pengganas oleh media dan pemimpin Barat malah tindakan-tindakan mereka seperti membakar suci Al Quran dianggap sebagai memperjuangkan demokrasi dan menjunjung hak kebebasan bersuara. Tetapi cuba bayangkan jika ia dilakukan oleh umat Islam, pastinya ia dilabel sebagai pengganas dan diburu sehingga ke hujung dunia.

Walaupun Islam diserang bertalu-talu, namun cahayanya tidak boleh dipadamkan sama sekali kerana ia dipelihara oleh Allah SWT melalui petunjuk Al-Quran dan Al-Sunnah. Hari ini cahaya Islam terus tersebar dengan begitu meluas di negara-negara Barat dan wujudnya kesedaran yang makin bertambah di kalangan umat Islam.

Insya-Allah jika ia berterusan, pastinya Islam akan bangkit kembali seterusnya akan menjadi petunjuk buat umat manusia di seluruh dunia.

“Malaysia Sejahtera”

YB DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 5/9/2023