TINDAKAN Pengarah Komunikasi Umno, Lokman Adam menggelar anak-anak kecil dengan istilah ‘seekor’ demi mengaitkannya dengan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang merupakan pusat pendidikan awal kanak-kanak bawah PAS amat mengejutkan.
Konotasi negatif ini terungkap dek ‘ketakutan’ beliau terhadap pengaruh PAS yang dikatakan ‘PAS bakal kaut semua orang yang faham Islam’ melalui penglibatan aktiviti-aktiviti di masjid yang banyak dipelopori orang PAS dan juga anak-anak yang belajar di Mesir dan Jordan didakwa menjadi ‘aset’ PAS.
Hakikatnya, kepentingan yang dibawa oleh PAS menjangkaui aspek politik dengan membawa nilai kebenaran dalam usaha memahamkan rakyat mengenai nilai-nilai Islam bagi membentuk kemuliaan diri di sisi Tuhan dan manusia. Hal inilah menjadi faktor utama yang memikat hati masyarakat untuk bersama dengan perjuangan PAS.
Dakwaan Lokman Adam yang tidak beradab ini menunjukkan kebongkakannya dan ketidakmatangannya dalam berpolitik, sehinggakan anak-anak kecil dijadikan sasaran untuk diserang. Apa sangat yang mampu dibuat oleh anak-anak ini sehingga menjadi ancaman yang menggugat ketenangan anda?
Dari sisi lain, tindakan Lokman Adam ini juga secara tidak langsung membuktikan kebenaran perjuangan PAS selama ini, terutamanya dalam aspek pembangunan insan sedari kecil sehinggalah dewasa. Holistiknya sistem pendidikan yang digagaskan oleh PAS ini terbukti berjaya membentuk mata rantai perjuangan Islam di bumi Malaysia.
Biarlah apa sahaja yang ingin diperkatakan, PASTI akan terus mengorak langkah melahirkan anak-anak cilik Islam yang bakal menjadi mujahid dan mujahidah kelak. Nasihat Pemuda PAS kepada saudara Lokman Adam, persiapkanlah dirimu bagi berhadapan dengan anak-anak cilik ini beberapa tahun lagi. Jangan pula berselindung di sebalik anak-anak KEMAS, sehingga dicari hilang entah ke mana.
NAZIR HELMI
Ketua Penerangan
Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 4/9/2023