5 lelaki sesat di kaki Gunung Tebu ditemukan selamat

Foto daripada Facebook Dr Azman Ibrahim.
- Advertisement -

JERTIH: Sekumpulan lima lelaki yang sesat selepas cuba mendaki Gunung Tebu di Jabi dekat sini pada Khamis lepas, ditemukan selamat di kawasan kaki gunung itu pada 9.15 pagi tadi.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut DSP Azrol Anuar Nor berkata semua lelaki berusia 23 hingga 39 tahun itu ditemukan selepas berjaya keluar sendiri ke kawasan perkelahan di Hutan Lipur Lata Belatan di kaki gunung berkenaan.

Beliau berkata kawasan Hutan Lipur Lata Belatan ditutup sementara kepada pengunjung pagi tadi untuk melancarkan kerja-kerja operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang bersambung kira-kira 8 pagi tadi, setelah ditangguhkan 6 petang semalam berikutan cuaca hujan dan hari semakin gelap.

“Operasi mencari dan menyelamat disertai tiga pegawai dan 20 anggota polis, enam pegawai dan 13 anggota bomba, dua pegawai dan 11 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta sembilan malim gunung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azrol Anuar berkata maklumat awal mengatakan hanya tiga orang yang tersesat di kawasan gunung itu, namun selepas ditemukan hari ini, didapati kumpulan itu terdiri daripada lima orang.

Menurutnya, seorang daripada lelaki berkenaan mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan kesemua mereka dihantar ke Hospital Besut untuk pemeriksaan dan rawatan.

Terdahulu, polis menerima maklumat tentang kejadian itu apabila ibu seorang daripada lelaki berkenaan membuat laporan pada 12.50 tengah hari semalam, setelah dihubungi anaknya mengatakan dia dan rakannya tersesat di Gunung Tebu.

Sementara itu, seorang mangsa dari Bukit Tunggal, Kuala Terengganu yang enggan dikenali memberitahu mereka berlima mula memasuki kawasan hutan lipur itu pada 11.30 pagi Khamis lepas, sebelum bercadang untuk cuba mendaki Gunung Tebu.

“Bagaimanapun, pada 4.30 petang hujan lebat menyebabkan kami mengambil keputusan untuk berpatah balik, namun mula hilang arah.

“Kami mencari trek untuk keluar tetapi tidak jumpa dan mengambil keputusan bermalam di kawasan air terjun. Pagi tadi kami berlima bergerak dan menjumpai aliran sungai lalu kami mengikuti arah aliran air sungai sehingga sampai ke kawasan perkhemahan di kaki gunung,” katanya. – BERNAMA 

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -