Tanah RAC: Kenapa tidak libatkan GLC?

- Advertisement -

REACH merujuk kepada berita sepuluh tapak bernilai lebih RM2 bilion milik Perbadanan Aset Keretapi (RAC) di enam negeri akan ditawarkan kepada swasta untuk dibangunkan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata semua aset bernilai itu letaknya di Selangor, Perlis, Johor, Kelantan, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur dengan keluasan hampir 370 ekar.

Menurut beliau, tanah-tanah Persekutuan itu akan ditawarkan kepada pihak swasta untuk dibangunkan secara komersial yang bukan sahaja menjana pendapatan negara tetapi memberi manfaat infrastruktur kepada masyarakat setempat.

Penglibatan GLC

REACH mempersoalkan kenapa tapak-tapak tersebut tidak tawarkan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sama ada di peringkat Persekutuan atau peringkat negeri.

Atau sekurang-kurangnya satu usahasama di antara GLC dan swasta diwujudkan bukan 100 peratus pelaksanaannya diserahkan kepada pihak swasta.

Jika salah satu tujuannya adalah untuk menjana pendapat untuk negara, adalah lebih baik GLC-GLC dilibatkan kerana sebarang keuntungan akan turut mengalir kepada kerajaan dan tidak kepada pihak swasta sahaja.

Ia juga merupakan satu peluang untuk memperkasakan GLC-GLC tersebut.

Kediaman mampu milik

REACH mengalu-alukan keputusan kerajaan agar dibangunkan kemudahan-kemudahan untuk rakyat seperti stesen keretapi selain dari pembangunan komersil bernilai tinggi.

Walau bagaimanapun pembangunan tapak-tapak tersebut juga merupakan satu peluang untuk menambahkan stok kediaman-kediaman mampu milik untuk rakyat.

Selain dari mengharapkan swasta membina kediaman-kediaman tersebut, kerajaan juga perlu terlibat secara agresif untuk memikul tanggungjawab tersebut.

Pemilikan Bumiputera

Tetapi sama ada pembangunan komersil bernilai tinggi atau kediaman mampu milik, pelaksanaan projek-projek baharu ini adalah juga satu peluang untuk meningkatkan pemilikan Bumiputera yang dilaporkan oleh sesetengah pihak semakin berkurangan.

Satu garis panduan perlu ditetapkan yang wajib dipatuhi untuk mencapai hasrat ini.

Memecahkan monopoli

Apabila kerajaan melibat pihak swasta, mereka mesti memastikan pelaksanaan projek-projek ini tidak hanya melibatkan syarikat-syarikat atau individu-individu tertentu sahaja.

Monopoli mereka perlu dipecahkan dengan memberi peluang kepada yang lebih ramai.

Hak-hak penghuni sedia ada perlu jangan diabaikan

Ketika Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor (2008 – 2018) terdapat usaha agar mereka yang menduduki tanah-tanah milik RAC diberikan hak milik.

Justeru sebarang pembangunan wajib mengambil kira penghuni tapak-tapak tersebut dengan menyediakan penyelesaian menang-menang untuk kedua-dua pihak.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH)
30 Ogos 2023 – HARAKAHDAILY 30/8/2023

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -