Singa terlepas dalam kesesakan Karachi

- Advertisement -

KARACHI: Seekor singa terlepas dari sebuah kenderaan persendirian di tengah-tengah kesesakan lalu lintas Karachi, semalam, menyebabkan panik selama dua jam sebelum ditangkap semula.

Menurut polis, singa itu dibawa oleh pemiliknya apabila terlepas di jalan utama bandar pelabuhan yang sibuk itu pada waktu puncak lalu lintas.

- Advertisement -

“Pasukan kami bergegas ke sini serta-merta. Alhamdulillah, singa itu berada dalam jagaan kami dengan selamat dan tiada sesiapa dalam bahaya sekarang,” kata Inspektor Hidupan Liar, Mukhtyar Soomro.

Singa yang terlepas itu memasuki ruang bawah tanah sebuah bangunan berhampiran selepas berkeliaran di jalan raya.

Ini menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk di kawasan itu apabila kenderaan media tiba di tempat kejadian untuk membuat liputan dan orang ramai berkumpul cuba melihat kelibat haiwan itu.

Jabatan Hidupan Liar berkata, singa itu kemudian ditempatkan di kandang kerana memelihara singa di kawasan perumahan adalah dilarang.

“Pemilik singa itu telah ditahan dan tuduhan akan dibuat terhadapnya,” kata Penguasa Kanan Polis, Shiraz Nazir dalam satu kenyataan.

Memelihara kucing liar sebagai haiwan peliharaan bukan sesuatu yang luar biasa di Pakistan. Ahli perniagaan kaya diketahui umum mempunyai zoo persendirian dan kadang-kadang mempertontonkan haiwan itu kepada orang ramai.

Pada 2017, polis di Pakistan menahan seorang lelaki yang membawa singa peliharaannya dalam kenderaan pada waktu malam melalui jalan raya sekitar Karachi.

Visual singa itu menjadi tular di media sosial dengan pengguna menyatakan kebimbangan, tetapi ramai yang melihat sisi berbeza kejadian itu.

“Singa bersiar-siar dengan selesa di Karachi seolah-olah dia tahu ada undang-undang hutan di sini,” kata seorang pengguna di platform pemesejan X, merujuk kepada kadar jenayah jalanan yang tinggi di bandar itu.- REUTERS