MUAR: Ahli-ahli dan penyokong Umno di peringkat akar umbi mendedahkan mereka tidak boleh menerima parti itu yang dilihat cenderung untuk menjadi ‘khadam’ DAP.
Naib Presiden PAS, Dato’ Idris Ahmad berkata, perkara ini dinyatakan pemimpin Umno peringkat akar umbi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram
Katanya, mereka mendedahkan tidak puas hati kerjasama Umno dengan Pakatan Harapan (PH) ketika sesi pertemuan dengan mereka semasa aktiviti kempen.
“Mereka bimbang situasi yang menimpa Parti Amanah Negara (PAN) yang sering membela pemimpin DAP berulang kepada Umno pula.
“Saya berjumpa sendiri dengan pemimpin Umno di peringkat cawangan yang memberitahu tidak boleh menerima hubungan Umno dengan PH terutamanya DAP,” katanya pada ceramah kelompok di Unit Daerah Mengndi (UDM) Sri Tanjong dekat sini, malam tadi.
Hadir sama Ahli Parlimen Pendang, Dato’ Awang Hashim; aktivis PAS Negeri Sembilan, Badzli Bakar dan calon PERIKATAN NASIONAL (PN) DUN Simpang Jeram, Dr Mohd Mazri Yahya.
PRK DUN Simpang Jeram menyaksikan pertembungan tiga penjuru. PH diwakili Nazri Abd Rahman dan S Jegananthan bertanding atas tiket Bebas.
PRK DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai diadakan berikutan kematian penyandangnya Dato’ Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.
Idris berkata, kerjasama Umno dengan PH sehingga sekarang tidak diterima sebahagian besar ahli dan penyokong di peringkat bawahan.
“Pemimpin-pemimpin Umno turut menceritakan anak-anak mereka yang pulang dari bandar juga tidak mengundi BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/8/2023