Jurulatih baharu Arab Saudi, Roberto Mancini berkata, matlamat utamanya ialah untuk pasukan kebangsaan memenangi Piala Asia selepas 27 tahun ketika diperkenalkan oleh Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF) di Riyadh.
Bekas jurulatih Itali itu yang menggariskan aspirasinya untuk meningkatkan tahap pasukan Asia itu, memperincikan rancangan jangka panjang dan pendeknya, sambil menambah dia akan menilai pemain untuk melengkapkan objektif memenangi kejohanan benua itu.
“Sasaran kami adalah untuk memenangi Piala Asia selepas 27 tahun. Sasaran kami sebelum itu ialah mempunyai empat perlawanan persahabatan, kami mempunyai dua perlawanan kelayakan Piala Dunia dan selepas itu, kami mempunyai kem latihan selama 20 hari untuk persiapan Piala Asia,” Mancini berkata dalam satu kenyataan.
“Saya bukan ahli silap mata, kami mempunyai bakat yang luar biasa dan boleh mencapai matlamat melalui kerja berterusan. Kami mempunyai pemain yang bagus, jurulatih sebelum ini melakukan kerja yang hebat. Selepas ini, kami perlu menterjemahkan kata-kata kami menjadi realiti di atas padang.”
Bekas jurulatih, Herve Renard memimpin pasukan Arab Saudi di Piala Dunia Qatar, apabila mereka melakukan kejutan terbesar dalam sejarah kejohanan dengan mengalahkan Argentina dalam perlawanan pembukaan, namun tersingkir di peringkat kumpulan.
Mancini juga bercakap tentang keadaan bola sepak Saudi, melakar persamaan dengan apa yang berlaku di negara asalnya: “Ramai pemain asing yang hebat datang ke Itali dan kami meningkat dengan banyak. Ini bagus untuk pemain Arab Saudi.”
Negara itu banyak melabur dalam liga bola sepak dengan Dana Pelaburan Awam Saudi (PIF) mengumumkan Projek Pelaburan dan Penswastaan Kelab Sukan, melibatkan juara liga Al-Ittihad, Al-Ahli, Al-Nassr dan Al-Hilal.
“Arab Saudi telah menjadi sebuah negara yang menarik untuk semua nama global” kata Presiden SAFF, Yasser Al Misehal.
Ramai pemain terkemuka terpikat ke negara ini selepas Cristiano Ronaldo memulakan langkah tahun lepas. Baru-baru ini, Karim Benzema dan Neymar adalah antara mereka yang menyertai kelab Arab Saudi bersama jurulatih Inggeris, Steven Gerrard. – REUTERS
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!