MUAR: Isteri kepada calon PERIKATAN NASIONAL (PN), Dr Mohd Mazri Yahya, menyifatkan suaminya seorang yang ikhlas untuk berkhidmat kepada rakyat dan memberi sokongan padu sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
Rosilawati Mohd Nor yang juga seorang doktor berkata, suaminya seorang yang serius dalam pekerjaan dan akan memberi komitmen terbaik untuk berkhidmat kepada masyarakat di Simpang Jeram.
“Sebagai isteri, saya akan membantu kempen untuk suami saya. Saya sudah berada di Simpang Jeram dan akan terus berkempen supaya PN melalui PAS menang pada PRK, 9 September nanti.
“Bila kita bertanding tentu hendak menang. Insya-Allah PN melalui PAS telah menyediakan calon yang terbaik dan dapat memberi khidmat yang baik kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui di Bilik Operasi DUN Simpang Jeram.
Rosilawati yakin suaminya akan menang setelah berusaha mendekati masyarakat di Simpang Jeram.
Katanya, suaminya memang seorang yang sibuk sejak dahulu lagi dengan kerja sebagai doktor dan bergerak aktif dalam jemaah PAS.
“Bila suami saya bertanding lagi dalam pilihan raya, saya dan anak-anak sudah tidak terkejut,” katanya.
Kehadiran Rosilawati turun padang berkempen memberi motivasi kepada suami tercinta untuk melipatgandakan kempen memenangi hati pengundi.
Pasangan bahagia ini dikurniakan anak seramai tujuh orang, ada yang sudah bekerja dan ada yang masih menuntut.
Rosilawati yang berkempen secara berasingan dengan suaminya turut menghadiri mesyuarat membincangkan perancangan terbaik memikat hati pengundi bersama jentera muslimat.
Anak-anak beliau turut membantu kempen bagi memenangkan calon yang terbaik untuk masyarakat Simpang Jeram.
Selain pakar perunding pembedahan am, Dr Mazri juga pakar bedah vaskular dan endovaskular.
Dr Mazri pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Hospital Kuala Lumpur sebanyak dua kali. Beliau juga penulis buku Hemodialisis dan penjagaan tapak fistula. – HARAKAHDAILY 30/8/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!