PARIS: Perancis akan mengharamkan kanak-kanak memakai abaya, iaitu jubah longgar dan labuh yang dipakai oleh wanita Islam di sekolah-sekolah kerajaan, kata Menteri Pendidikan negara itu.
Perancis yang menguatkuasakan larangan ketat terhadap elemen agama di sekolah negeri sejak undang-undang abad ke-19 menghapuskan sebarang pengaruh tradisional Katolik dalam pendidikan awam, bergelut untuk menguatkuasakan undang-undang itu yang membabitkan penduduk minoriti Islam yang semakin meningkat.
Pada 2004, Perancis mengharamkan skaf kepala di sekolah dan kemudian meluluskan larangan pemakaian tudung sepenuhnya di khalayak ramai pada 2010, menimbulkan kemarahan lima juta komuniti Islam negara itu.
Mempertahankan sekularisme adalah kempen yang bergema di Perancis daripada sayap kiri yang menjunjung nilai liberal hingga pengundi sayap kanan yang mencari benteng bagi menghadapi peranan Islam yang semakin meningkat dalam masyarakat Perancis.
“Saya telah memutuskan bahawa abaya tidak lagi boleh dipakai di sekolah,” kata Menteri Pendidikan, Gabriel Attal dalam temu bual dengan saluran TV TF1.
“Apabila anda masuk ke dalam bilik darjah, anda sepatutnya tidak dapat mengenal pasti agama murid hanya dengan melihat mereka,” katanya. – REUTERS
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!