BIAR aku sahaja yang bongkarkan kisah sebenar di sebalik ‘pembohongan’ Presiden PAS. Abang Mat Sabu berehatlah, tidak perlu bekerja keras untuk hal ini. Ramai yang sudah tahu, tetapi mungkin lupa. Jadi kita hanya perlu ingatkan sahaja, bukanlah bongkarkan sangat sebenarnya, saja Abang Mat nak buat kecohlah tu. Untuk isu ini kita terpaksa kembali kepada peristiwa Langkah Kajang kerana di situlah bermula banyak perkara.
Abang Mat ingatkan, perkataan daripada Abang Mat dan kawan-kawan, apabila Presiden PAS mengatakan PAS mahukan redha Allah, walaupun kalah PRU? Apa sindiran Abang Mat dan kawan-kawan kepada Presiden PAS? Kalau begitu, buat apa masuk PRU? PAS tak perlu menang, kita nakkan menang. Itu bukti PAS tak takut kalah, Abang Mat yang kalut.
Apa yang Shaari Sungip dan Hasnul Baharuddin lakukan ketika arahan Presiden PAS supaya tidak menyokong Wan Azizah menjadi Menteri Besar dalam Langkah Kajang, sehingga mereka digelar barua dan broker kerana menjadi alat kepada PKR waktu itu. Jelas akhirnya TS Khalid telah difitnah dan juga ingkar arahan Sultan yang mahukan lebih daripada dua nama calon Menteri Besar Selangor. Bukankah itu sikap gila mahu menang?
Shaari Sungip ketika itu juga pernah disindir oleh Menteri Besar Selangor yang dipilih oleh Sultan, Azmin Ali kerana sering mengganggu ataupun mungkin kecewa Wan Azizah tidak dipilih menjadi Menteri Besar dengan gelaran Pengemis Jawatan Exco. Entahlah jika ada janji habuan oleh Wan Azizah kepada mereka waktu itu.
DAP saban hari memaksa Menteri Besar Selangor untuk memecat Exco daripada PAS waktu itu, sedangkan PR masih belum memutuskan apa-apa. Tuanku Sultan juga bersetuju dengan pengekalan itu. Bukankah itu sikap berniat jahat?
Abang Mat Sabu dan rakan sering juga dalam Muktamar, melontarkan pandangan yang keperluan mereka berbaik dengan DAP kerana mahukan undi Cina dan bukan-Melayu, kerana mahu menang dalam PRU. Ia bukan satu kesalahan, tetapi berbaik kita itu, jangan sehingga melutut kata para ulamak PAS. Akan tetapi Abang Mat tetap memperjuangkan isu DAP dalam Muktamar sepertinya Bang Mat menjadi wakil mereka.
Dan jika tidak kerana gila mahukan kemenangan, masakan Abang Mat seramai 18 orang keluar menubuhkan parti baharu dan mengajak beberapa kerat lagi ahli PAS yang naif, termasuklah ulamak-ulamak mereka yang sudah tenggelam sekarang, Ustaz Ahmad Awang, Ustaz Ghani Shamsuddin, contohnya. Agenda Islamnya ke mana, ekonomi merudum, menipunya pula makin menjadi-jadi.
Contoh fitnah RM90 juta, REE, penyelewengan PAS dalam pentadbiran di Kelantan, Terengganu dan banyak lagi penipuan yang dibawa oleh PH kepada rakyat. Tidak ketinggalan menggunakan kuasa bagi menekan lawan, saling tak ubah seperti Umno lakukan dahulu, sedangkan PH mendakwa menentang BN dan Umno untuk melaksanakan keadilan. Dan itulah yang berlaku kepada PAN yang menjadi khadam kepada DAP kerana terlalu mahukan kemenangan, mereka melutut, menjadi pak turut. Sungguh hina kemenangan seperti ini.
DAP beberapa kali memutuskan hubungan dengan PAS kerana ketegasan PAS dalam mempertahankan dasarnya. Dalam Barisan Alternatif, DAP keluar. Dalam Pakatan Rakyat, PAS dipaksa keluar yang kemudiannya dituduh PAS keluar apabila PKR dan DAP menentang PAS di Sungai Burung dan Kuala Kangsar. Kerana itu, PAS pernah kalah banyak kali, tetapi PAS tetap ‘cool’.
Bang Mat ada balik Permatang Pauh tak? Hari itu janji tak nak balik kalau PH kalah kat sana kan? Kalau dah balik, yang menipu kita masukkan dalam senarai menipu Abang Mat.
MOHD NASIR ABDULLAH
28 Ogos 2023 – HARAKAHDAILY 28/8/2023
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.



