BAGAN SERAI: Kuasa politik adalah keupayaan dan kekuatan yang bukan sahaja membolehkan, malah menjamin untuk perkara makruf dapat ditegakkan, sementara kemungkaran dicegah.
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria berkata, kuasa politik di sisi Islam bererti segala perintah dan larangan syariat Allah SWT dapat dijayakan oleh pemimpin yang bertindak sebagai khalifah-Nya.
Pun demikian menurutnya, kuasa politik boleh menjadi sebaliknya, jika dipegang untuk kepentingan tertentu hingga tunduk kepada perlakuan mungkar dan tiada inisiatif kepada perkara makruf.
Lebih malang bidas beliau, jika pemegang kuasa itu sendiri turut bergelumang atau bersubahat atau mengaut sesuatu dari maksiat, penindasan, kezaliman dan seumpamanya kepada sesiapapun.
“Jadi kuasa politik bukan setakat dapat mencegah sesuatu keburukan dan kejahatan yang semua itu mungkar. Tetapi kuasa politik dapat membawa segala macam kebaikan yang itulah makruf,” ujarnya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu keruntuhan moral dan hiburan melampau yang menjadi tular dari penganjuran sebuah program di Dataran Ipoh pada baru-baru ini.
Beliau kesal kerana perkara tersebut hanya disusuli dengan permohonan maaf setelah ia berlaku, sedangkan perlakuan seumpama itu dapat dicegah jika pemegang kuasa jujur dan ikhlas.
Ketua Pembangkang DUN Perak itu menegaskan, kuasa boleh menyekat perkara tersebut, kecuali ia dipegang oleh mereka yang menunggangnya dengan istilah-istilah suci seperti ‘madani’, ‘tatakelola’ dan seumpamanya.
Diminta mengulas penentangan ditunjukkan oleh gabungan kumpulan agama terhadap pengajaran 40 Hadis Imam al-Nawawi di sekolah, beliau menyifatkan ia satu campur tangan tidak sepatutnya.
Namun paling beliau musykil adalah sejauh mana mereka yang kini menerajui kuasa dan berusaha melaksanakan perkara itu akan bertahan atau sebaliknya mengulang ‘tragedi’ tunduk kepada desakan.
“Dalam komponen kerajaan itu sendiri hari ini adanya parti yang kuat menentang usaha berkaitan Islam dan sering rakan komponen akhirnya tunduk, menarik balik, sekali gus tewas kepada gesaan.
“Sebab itu ia berbeza dengan PAS yang menggunakan kuasa untuk menegakkan makruf seperti pelaksanaan kanun syariah dan mencegah mungkar seperti penutupan premis judi yang tak mampu dibuat Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).
“Tapi ini bukan tugas PAS sahaja, mencegah mungkar ini tanggungjawab semua individu, diri sendiri tak buat mungkar dan halang secara berhikmah orang lain buat mungkar.
“Dalam masa sama juga semua orang ada tanggungjawab untuk jadi individu yang baik dan menyebarkan kebaikan atau makruf. Ini yang dikatakan makruf ditegak, mungkar dicegah.
“Jadi sudah tiba masanya rakyat memberi lebih banyak dan besar mandat kepada PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) agar agenda amar makruf dan nahi mungkar dapat dilaksanakan dengan kuasa politik,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 27/8/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!