JOHOR BAHRU: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon perikatan nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Bebas.
Pegawai Pengurus pilihan raya, Miswan Yunus mengumumkan senarai calon yang bertanding jam 10.35 pagi, selepas proses penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini ditutup pada jam 10 pagi.
“Kita menyemak kertas-kertas penamaan berkenaan dan setelah selesai disemak, saya berpuas hati dan memutuskan tiada calon yang ditolak pencalonan,” katanya di sini, hari ini.
Pada PRK itu, Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Pulai, Zulkifli Jaafar disahkan sebagai calon PERIKATAN NASIONAL di kerusi parlimen berkenaan.
Zulkifli yang juga usahawan kelahiran Tampoi akan ditentang calon PH, Suhaizan Kaiat selaku Ketua Amanah Bahagian Pulai.
Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) Samsudin Mohamad Fauzi pula diumumkan bertanding sebagai calon Bebas yang menggunakan simbol kunci.
PRK Parlimen Pulai diadakan serentak dengan DUN Simpang Jeram berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi kedua PRK itu pada 9 September sementara pengundian awal 5 September. – HARAKAHDAILY 26/8/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!